KUALA LUMPUR: Kejayaan penganjuran program Suria Jam anjuran Suria FM siri pertama di sekitar bandar raya Kuala Lumpur pertengahan Januari lalu membawa kepada penganjuran siri seterusnya dengan menampilkan beberapa artis ternama. Ketua Kandungan Kreatif, Digital dan Pengurusan Penjenamaan Suria FM, Ahmad Shaifullizam atau GBam berkata, berdasarkan sambutan pada siri pengenalan program itu Januari lalu, pihaknya tidak melengahkan untuk terus memberi hiburan percuma kepada orang ramai dalam usaha mendekatkan pendengar dengan stesen radio itu. "Alhamdulillah, kami mendapat lebih 10,000 tontonan dari enam episod Suria Jam yang turut dirakamkan pada siri pengenalan Januari lalu yang dimuatnaik ke laman sosial Facebook dan YouTube. "Sememangnya impian besar kami melalui program ini adalah ingin meluaskan lagi sasaran pendengar stesen radio Suria FM selain mendekatkan peminat dengan artis-artis kesayangan mereka," katanya kepada mStar Online. Akim & The Majistret menghiburkan peminat mereka di stesen LRT Avenue K. GBam ditemui pada program Suria Jam yang berlangsung di perkarangan stesen LRT Avenue K, di sini pada Isnin. Dua artis yang membuat persembahan pada petang itu adalah Siti Nordiana dan Akim & The Majistret. Sebelum itu iaitu pada Sabtu dan Ahad lalu, Ameng (Spring), Hafiz Hamidun, De'fam dan Forteen turut membuat persembahan di dua lokasi berbeza iaitu di Dataran Orang Buta, Masjid India dan Perkarangan SOGO di mana pada setiap lokasi menampil dua orang artis membuat persembahan. Suria Jam anjuran stesen radio Suria FM merupakan sebuah program berkonsepkan persembahan jalanan berskala besar yang menampilkan kumpulan muzik profesional mengiringi persembahan artis di lokasi-lokasi terbuka yang terpilih. Terdahulu pada siri pengenalan, Suria Jam menampilkan empat artis popular antaranya Azharina, Amelina, Khai Bahar dan Haqiem Rusli. Video rakaman persembahan artis-artis yang terlibat boleh ditonton melalui laman sosial Facebook dan Youtube Suria TV.