KUALA LUMPUR: Lima penyanyi veteran era 60-an memberikan persembahan bertenaga pada malam Konsert Gegar Pop Yeh Yeh yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya. Pentas yang membawa kenangan era tahun 1960-an itu dibuka oleh persembahan JSham menerusi dua buah lagu popularnya iaitu Mencari Sinar Bahagia dan Surat Untukmu memanaskan dewan Istana Budaya. Kemudian kemunculan penyanyi Datuk L.Ramli dengan nyanyian lagu Ayahku Kahwin Lagi berjaya mencuri perhatian penonton dengan gelagat dan tariannya yang tersendiri. Biarpun, sudah berusia 75 tahun, penyanyi tersebut masih lincah dan memberi persembahan yang menghiburkan penonton. JSham tampil penuh tenaga. Beliau turut menyelitkan lawak jenaka tentang lagu berkenaan yang berkaitan dengan kehidupannya kini. "Saya ada empat orang anak dan 15 orang cucu, isteri saya memberi lampu hijau jika saya ingin berkahwin lagi. Tapi saya tidak mahu," ujarnya sejurus selesai penyampaikan lagu berkenaan. Selain itu, penyanyi yang masih aktif dalam industri Datuk A Rahman Hassan muncul dengan lagu popular ciptaamnya Perpaduan Hidup dan Hanya Untukku. Diikuti satu-satu penyanyi wanita irama Pop Yeh Yeh iaitu Maria Bachok. Penyanyi berasal dari Singapura ini tampil anggun dan mempunyai aura tersendiri ketika berada di atas pentas. Gandingan A Rahman Hassan dan Amira Othman menarik. Dia yang menyanyikan lagu Alam Seni dan Harapan Baru membuatkan penonton berasa seperti kembali ke zaman kegemilangan Pop Yeh Yeh. Datuk Jeffrydin turut tidak melepaskan peluang untuk memberi persembahan terbaik dengan lagu Kenanganku dan Mas Mona. Manakala penyanyi jelmaan A.Ramlie iaitu Rozaini Razali atau lebih dikenali A.Rozaini, 28, muncul dengan lagu Oh Fatimah dan Fatimah Pujaanku. Dua lagu tersebut nyanyian Allahyarham A.Ramlie merupakan antara lagu paling hit dan banyak terjual pada era berkenaan. Konsert Pop Yeh Yeh akan berlangsung sehingga Ahad. Kemunculan penyanyi baharu Aiman Tino juga mencuri tumpuan kerana remaja ini berjaya menyanyi lagu Peracun Kalbu, Dendang Remaja dan Kenangan Mungusik Jiwa dengan baik. Selain Aiman, penyanyi Amira Othman juga memberi persembahan bertenaga pada segmen kedua iaitu segmen tribute menerusi lagu I Will Follow Him yang pernah dipopularkan oleh Peggy March. Pada segmen ketiga iaitu duet, Amira berpeluang menyanyi dua buah lagu bersama A.Rahman Hassan manakala Aiman Tino menyanyikan lagu Peristiwaku dan Ku Rela Dibenci versi Pop Yeh Yeh bersama Jeffrydin. Konsert berdurasi dua jam setengah itu berakhir kira-kira pukul 11.30 malam. Bagi yang berminat dan ingin mengimbau kenangan era tersebut, Konsert Gegar Pop Yeh Yeh ini dipentaskan selama tiga malam bermula 3 hingga 5 Mac ini. Tiket dijual dengan harga RM50, RM80, RM150 dan RM180 dan sebarang urusan tempahan tiket boleh layari laman sesawang www.airasiaredtix.com atau terus ke laman Facebook: ctraproduction.