suria

Hati Abon Sudah Tawar Terhadap Lakonan

Abon kini lebih memberi tumpuan kepada bidang perniagaan.

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak Abon mendedahkan sudah empat tahun dia tidak aktif dalam bidang lakonan kerana memberikan tumpuan kepada perniagaan produk kesihatan.

Jelas bekas juara program Maharaja Lawak Mega (MLM) pada 2011 ini, hatinya juga sudah tawar untuk berlakon walaupun masih dihujani dengan pelbagai tawaran lakonan.

"Sejak saya melibatkan diri sebagai duta produk kesihatan empat tahun lalu dan seterusnya membuka perniagaan sendiri saya memang sudah tidak berlakon.

"Saya bukan merajuk tetapi hati sudah tiada untuk berlakon selain masa saya banyak dihabiskan menguruskan perniagaan.

"Tawaran masih ada malah ramai tertanya-tanya kenapa saya sudah tidak mahu berlakon tetapi selalunya saya akan tolak secara baik," katanya kepada mStar Online.

Abon atau Sharizan Ahmad, ditemui pada sidang media Karnival Moh Ke Jengka 7 yang diadakan di Restoran Haslam di sini, Jumaat.

Acara bersempena reunion bekas kaki tangan 70-an dan peneroka Felda Jengka 7 itu akan berlangsung pada 18 hingga 20 Mac ini.

Lebih daripada 20 selebriti tempatan bakal memeriahkan acara yang bakal diadakan di Felda Jengka 7, Pahang itu.

Dalam pada itu, Abon mengakui pada awalnya dia bimbang dengan keputusannya untuk tidak lagi berlakon kerana itu punca pendapatannya menyara keluarga.

Bagaimanapun kata Abon, dia nekad dengan keputusannya dan ingin menceburkan diri secara serius dalam bidang perniagaan.

"Pada awalnya saya memang bimbang tetapi saya berdoa kepada Allah dan bulatkan hati dengan keputusan itu.

"Alhamdulillah walaupun tidak seberapa tetapi rezeki saya sentiasa ada kerana paling penting usaha dan tawakal," jelasnya.

Bagaimanapun kata Abon, walaupun sudah tidak lagi berlakon namun dia masih menerima undangan sebagai pengacara majlis dan membuat persembahan lawak.

"Komedi itu sudah sebati dengan diri saya dan syukur tawaran mengadakan persembahan pentas masih ada.

"Kadang-kadang penuh juga jadual saya bagi memenuhi undangan daripada pihak penganjur," ujarnya.

Abon

Artikel Lain