KUALA LUMPUR: Penyanyi Aiman Tino teruja dihadiahkan sebuah kereta mewah iaitu Audi R8 yang bernilai hampir RM1 juta bersempena pelancaran produk kecantikan keluarannya iaitu Sweet Aiman. Lebih menggembirakan Aiman turut menerima seorang pemandu peribadi bagi memudahkan pergerakannya membuat promosi produk itu selain ke lokasi persembahan pentas. "Alhamdulillah saya sendiri tidak menyangka akan mendapat sebuah kereta dan pemandu peribadi. "Saya anggap ini sebagai satu rezeki dan pemangkin semangat untuk saya berusaha lebih keras dalam mempromosikan produk saya nanti," katanya kepada mStar Online. Aiman ditemui pada majlis pelancaran produk Sweet Aiman yang diadakan di Restoran Rebung di sini, Rabu. Kenderaan mewah itu dihadiahkan oleh Pengarah Urusan Wonder Glow Cosmetics (M) Sdn Bhd, Datuk Ryzal Jamaludin yang juga rakan strategiknya dalam menghasilkan produk itu. Aiman (kiri) bersama rakan kongsi produknya iaitu Datuk Ryzal Jamaludin. Sebuah majlis rasmi penyerahan kereta itu akan diadakan pada 23 Mac ini di pasar raya Mydin Senawang, Negeri Sembilan. Dalam pada itu, Aiman atau Mohd Aiman Yusri, 19, berkata, dia berhasrat untuk mengambil lesen memandu bagi membolehkan dia memandu sendiri kereta itu. Katanya, kesibukan dengan kerjaya seni membataskan peluang untuk memasuki kelas memandu dan berazam akan mendapatkan lesen pada tahun ini juga. "Siapa tak gembira dapat kereta seperti itu tetapi malangnya saya masih belum ada lesen memandu dan akan cuba mendapatkanya jika ada masa terluang. "Dapatlah nanti saya memandu sendiri kereta itu tanpa perlu menggunakan khidmat pemandu peribadi," jelasnya. Bercakap mengenai produk itu, Aiman berkata, dia sudah lama berminat untuk menceburi bidang perniagaan dan bekerjasama dengan Wonder Glow Cosmetics (M) Sdn Bhd adalah peluang keemasannya. Bagaimanapun kata Aiman, sebelum bersetuju ibu-bapanya terlebih dahulu berbincang dengan dia bagi memastikan produk yang bakal dilancarkan berkualiti dan memenuhi permintaan pelanggan. Contoh kereta Audi R8. "Sweet Aiman adalah produk untuk peminat dan pengguna wanita sebenarnya tetapi ia juga boleh digunakan oleh lelaki yang ingin mendapat kulit yang lebih cantik dan putih. "Saya yakin produk ini akan disukai oleh pelanggan kerana selain harga berpatutan ia juga memberi kesan yang positif kepada pemakai. "Perkara-perkara seperti ini yang saya ambil kira sebelum bersetuju menjalinkan kerjasama," ujarnya. Tiga produk keluaran pertama penyanyi ini terdiri daripada 3D Cream DD Mineral Cushion, Candy Cherry Bite dan Cherry Brite HD. Dalam perkembangan sama, Ryzal pula berkata, pihaknya serius menjalinkan kerjasama dengan Aiman kerana melihat potensi penyanyi kecil molek itu dalam bidang seni. Malah hadiah kereta mewah yang diberikan kepada Aiman juga sebagai suntikan semangat kepadanya. "Dia masih muda dan saya nampak semangat dan wawasannya bukan sahaja dalam bidang perniagaan tetapi karier seninya. "Kereta itu adalah setimpal dengan apa yang telah diusahakan dan saya ingin menaikkan semangatnya," katanya.