suria

Muaz Mohamed Ditegur Bawa 'Imej RTM' Di Kool FM

Muaz akui semakin selesa selepas menyertai stesen radio Kool FM sejak awal Februari lalu. -foto AIMAN ARIFUDDIN / The Star

KUALA LUMPUR: Selepas sebulan menyertai Kool FM, Muaz Mohamed mengakui dia terbawa-bawa cara penyampaian seperti ketika bertugas di RTM sehingga ditegur pengurusan baru tempatnya bekerja.

Namun ujar Muaz, 33, dia akhirnya dapat mengubah cara itu seperti yang diinginkan selain bertambah selesa bekerja di tempat baharu itu.

"Mula-mula ada teguran sikit, mereka minta saya ubah cara penyampaian mengikut cara Kool FM.

"Tapi sekarang dah semakin baik dan apa yang penting saya masih menjadi diri sendiri, hanya ubah cara mengikut suasana tempat baharu," katanya kepada mStar Online.

Muaz atau Muazanazzudin Mohamed ditemui pada Majlis Lepak Santai bersama barisan penyampai radio Hot FM dan Kool FM di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini pada Selasa.

Dia sebelum ini penyampai radio Nasional FM dan berkhidmat selama sembilan tahun di RTM.

Selain itu menurut Muaz, menyertai sebuah stesen radio yang berasaskan keuntungan ternyata menguji kemampuannya sebagai seorang personaliti radio.

"Ketika di tempat lama saya bekerja untuk majikan tetapi di sini saya bertanggungjawab untuk tambah jumlah pendengar.

"Ini adalah cabaran yang sebenar apabila memasuki pasaran yang terbuka, ia mencabar daya kreativiti saya sebagai penyampai.

"Setiap hari kena fikir bagaimana nak tarik lebih ramai pendengar," katanya.


Muaz bergandingan dengan Liza menerusi segmen Petang Kool.

Bagaimanapun menurut Muaz, pengalaman lalu membantu dia memperkukuhkan namanya dalam bidang penyiaran.

"Pengalaman lalu saya anggap sebagai fasa untuk mengenal diri, ia sangat membantu meletakkan di mana saya sekarang ini.

"Tapi apa yang pasti Muaz masih seperti dulu kerana saya kerja demi minat," katanya.

Akui Muaz, bekerja di sebuah stesen radio milik syarikat terkenal bukan jaminan untuknya diterima dengan mudah oleh pendengar.

Sebaliknya ujar Muaz, kemampuan diri mengetengahkan bakat yang ada merupakan perkara utama yang perlu ada pada setiap penyampai radio.

"Pendengar sekarang semakin bijak menilai penyampai mana yang mereka suka. Mereka menilai keupayaan kita mengendalikan segmen yang diberikan.

"Sebab itu sebagai penyampai saya perlu menjadi lebih kreatif untuk menarik minat mereka mendengar celoteh di radio," katanya.

Muaz kini bersama seorang lagi penyampai iaitu Liza mengendalikan segmen Petang Kool bermula 3 petang hingga 7 malam.
Muaz Mohamed, Kool FM

Artikel Lain