PETALING JAYA: Aktor Che Kem tidak berhasrat menjadikan lakonan karier sepenuh masa walaupun sudah memenangi tiga trofi bagi mengiktiraf bakatnya sebagai pelakon. Che Kem, 46, berkata, dia lebih selesa dengan situasi sekarang kerana apa dilakukan adalah kerana minat dan bukannya mengejar populariti. "Saya bukan seorang pelakon pada hari-hari biasa dan juga tak merancang menjadikan lakonan sebagai karier tetap. "Walaupun mendapat tiga pengiktirafan hasil daripada lakonan tetapi apa yang saya lakukan itu adalah kerana minat dan bukannya mengejar populariti," katanya kepada mStar Online. Pemilik nama sebenar Mohd Kamarulzaman Taib itu memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Kaseh Tribute P. Ramlee yang diadakan pada Sabtu lalu. Kemenangan itu hasil daripada lakonan cemerlangnya dalam telefilem Sri Bulan arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba. Sebelum ini, Che Kem juga pernah mendapat trofi Pelakon Lelaki Harapan Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) menerusi Hati Malaya dan Aktor Pilihan, Anugerah Oskar Edisi ke-7 pada 2008. Dalam pada itu, Che Kem berkata, antara sebab lain dia enggan terlibat secara sepenuh masa dalam bidang lakonan adalah kerana kerjayanya sebagai Ketua Program Pusat Seni Pentas Tradisional di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Kata Che Kem, dia ingin terus mendidik dalam melahirkan bakat baharu dikalangan pelajar sebagai pelapis industri seni pada masa hadapan. "Cinta saya masih menebal dalam bidang pendidikan dan ingin mendidik bagi melahirkan anak seni. Itu kerja saya. "Kemenangan baru-baru ini saya lihat sebagai satu bukti kelayakan untuk berada pada tahap sekarang dan menjadi contoh kepada para pelajar saya. "Orang kata jika kita sendiri tidak membuktikan diri bagaimana hendak menyakinkan orang lain?," jelasnya. Mengulas lanjut mengenai kemenangannya pada Anugerah Kaseh Tribute P. Ramlee, Che Kem berkata, dia berbangga dapat tercalon dengan nama hebat lain seperti Zaidi Omar, Khir Rahman dan Nam Ron namun tidak menyangka kemenangan berpihak kepadanya. "Saya pada awalnya tidak mengamil serius terhadap anugerah ini kerana ingat ia acara 'seronok-seronok' tetapi apabila melihat calon lain saya memang terkejut. "Jika saya tak menang pun saya sudah cukup berbangga kerana dapat tersenarai dengan nama-nama besar yang lain," katanya. Che Kem pernah memegang peranan utama sebagai Tunku Abdul Rahman dalam filem sejarah Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba pada tahun 2013.