KUALA LUMPUR: Pelakon Saharul Ridzwan memberitahu di awal kehamilan isterinya, dia pernah mengambil masa hampir satu jam mencari buah kelapa muda pada pukul 3 pagi di Kampung Baru di sini. Saharul, 28, berkata, ketika itu dia tidak mengesyaki bahawa isterinya, Qaabila Deena sebenarnya sudah berbadan dua. "Kebetulan saya baru selesai menjalani penggambaran sebuah drama sebelum dihubungi isteri pada pukul 3 pagi yang tiba-tiba teringinkan air kelapa muda berisi nipis. Saharul Ridzwan berkongsi pengalaman bersama pelajar. "Awalnya saya tidak mengesyaki apa-apa cuma sedikit pelik kerana dia mahukan buah kelapa yang belum dikopek dan mahu saya sendiri mengopekya di rumah. "Setibanya di rumah saya kecewa juga kerana dia hanya menjamah sedikit sahaja isi kelapa membuatkan saya mengesyaki ia mungkin 'pembawakan budak' dan selepas membuat pemeriksaan, doktor mengesahkan perkara itu," katanya kepada mStar Online. Saharul ditemui pada majlis perlantikannya sebagai duta & ikon Kelab Remaja Udara Malaysia (KRUM) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Jalan Semarak, di sini pada Rabu. KRUM ditubuhkan pada penghujung tahun 2016, bermula di Johor, Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka yang menyasarkan pelajar sekolah dan remaja seusia 10 hingga 25 tahun untuk menyertainya. Saharul Ridzwan. Pelantikan Saharul sebagai duta & ikon KRUM selama setahu berdasarkan latar belakang pendidikan pelakon 'Hati Perempuan' itu dalam jurusan Teknologi Penyelenggaraan Pesawat di sebuah kolej pengurusan penerbangan pada 2008. Dalam pada itu, kata Saharul, sehingga kini dia hanya membuat persiapan ala kadar biarpun usia kandungan isterinya kini hampir memasuki enam bulan. Malah dia masih dengan pendirian sebelum ini untuk tidak mengambil tahu jantina zuriat dan hanya berserah pada ketentuan Tuhan. "Kalau lelaki saya boleh ajak main bola, kalau perempuan pula boleh temankan saya tengok wayang," ujarnya berseloroh. Mengimbau pengalaman pendidikan dalam bidang kejuruteraan pesawat, kata Saharul, sekali pun impiannya untuk menyambung pengajian dalam bidang tersebut masih belum termakbul, dia bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk kembali mendekati lapangan ini dengan pelantikan dirinya sebagai duta dan ikon KRUM. "Jujur saya teruja dan saat diberitahu perkara ini, saya terus mencari kembali buku-buku berkaitan untuk 'refresh' balik ilmu yang pernah saya pelajari selama tiga tahun. "Satu yang saya pegang, andai bukan rezeki saya untuk terlibat dalam bidang kejuruteraan pesawat, mungkin anak saya nanti menyambung impian saya itu, siapa tahu?" katanya teruja. Dalam perkembangan seni, pemenang tempat ketiga pertandingan Hero Remaja 2012 ini baru sahaja selesai penggambaran drama 20 episod Tauke Jamu untuk siaran TV3. Selain itu dia turut menjayakan drama 20 episod terbitan Astro Warna berjudul 'Kampus'.