suria

Alyah ‘Bermusuh’ Dengan Ramli MS Soal Muzik

Alyah elak bercakap soal muzik dengan suaminya di rumah. Foto SHAARI CHE MAT

KUALA LUMPUR: Penyanyi Datin Alyah memberitahu sering 'bermusuh' dengan suaminya, Datuk Ramli MS apabila melibatkan hal-hal berkaitan bidang muzik.

Alyah berkata, walaupun Ramli seorang pengarah muzik terkenal namun mereka tidak pernah mencampur-adukkan hal peribadi dan kerjaya.

"Kami memang 'musuh' jika berkaitan hal kerja kerana kami memang tidak mencampur-adukkan hal peribadi dengan kerjaya masing-masing.

"Saya memang tidak pernah mendapat sebarang kelebihan hanya kerana dia suami saya," katanya kepada mStar Online.

Alyah tampil dengan single baharu berjudul Menunggu Bayangmu.
Alyah ditemui pada sidang media karnival Lefest yang diadakan di Saloma Bistro di sini, Khamis.

Atas dasar itu juga kata Alyah dia jarang terlibat dalam apa juga persembahan atau acara melibatkan Ramli.

"Banyak projek melibatkan suami memang saya tidak terlibat kerana tidak mahu orang fikir saya cuba ambil kesempatan.

"Kami pun memang jarang bercakap tentang hal-hal berkaitan muzik apabila di rumah," katanya.

Sementara itu, Alyah berkata, dia baharu sahaja muncul dengan lagu berjudul Menunggu Bayangmu yang turut dijadikan lagu tema drama bersiri Lara Cinta Ameena.

Selain itu kata Alyah, dia juga bakal muncul dengan lagu duet bersama Farawahida iaitu Mengapa Harus Aku.

"Tahun ini saya ingin merancakkan kembali karier nyanyian dengan melancarkan tiga single secara berperingkat.

"Selain Menunggu Bayangmu dan Mengapa Harus Aku saya juga sudah merakamkan single ketiga tahun 2017 iaitu Jutaan Purnama.

"Dengan kelembapan penjualan album fizikal pada masa kini saya fokuskan kepada penghasilan single sahaja dan menunggu masa sesuai untuk tampil dengan album penuh," ujarnya.
Alyah, Ramli MS

Artikel Sebelum

Artikel Lain