KUALA LUMPUR: Selepas 28 tahun menyepikan diri tanpa sebarang lagu baharu, penyanyi era 1980-an iaitu Siti Fairuz kini tampil dengan album mini berjudul Rindu yang memuatkan dua buah lagu. Menurut Siti Fairuz, 53, dua lagu berjudul Mengapa Tak Setia dan Tiada Penghujung Sinar ciptaan komposer Mat Din dan Hang Mokhtar itu telah dilancarkan pada hujung Disember tahun lalu. "Sekarang saya sudah kembali aktif menyanyi malah baru sahaja lancarkan mini album. "Alhamdulillah orang masih ingat, masih cari saya untuk buat persembahan pentas dan saya juga masih boleh menyanyi," katanya kepada mStar Online pada Khamis. Pada era 1980-an, Siti Fairuz popular dengan lagu Bila Rindu Ku Sebut Namamu ciptaan komposer Datuk Dr Ahmad Nawab dan lirik ditulis oleh Juwie. Siti Fairuz akui semakin banyak menerima undangan persembahan pentas. Bercerita lanjut mengenai keputusannya untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian, ibu tunggal kepada lima cahaya mata ini berkata dunia hiburan sudah menjadi sebahagian daripada dirinya. "Memang sebelum ini saya ingat dah tak mahu menyanyi lagi. Tapi naluri sebagai penyanyi itu masih ada. "Saya ambil masa yang lama juga untuk cari diri saya yang dulu, Alhamdulillah saya masih diterima," katanya. Ditanya sama ada dia perlu melakukan pembaharuan dari segi susunan muzik setiap kali melakukan persembahan pentas secara langsung, Siti Fairuz berkata dia lebih selesa menyanyikan semula lagu-lagunya dalam versi asal. "Saya tahu kawan-kawan seangkatan yang beri nafas baru terhadap lagu mereka mengikut permintaan semasa. "Tapi saya dididik oleh Ahmad Nawab. Dia tak suka ubah yang lama. Kalau menyanyi di pentas secara langsung, dia tak benarkan saya ad lib lagu hingga lari daripada versi asal. "Saya sendiri suka begitu dan saya yakin pendengar juga suka jika lagu-lagu dinyanyikan mengikut versi asal seperti dalam rakaman," katanya.