PETALING JAYA: Penyanyi Zarul Husin tidak pernah mengimpikan untuk memiliki bentuk badan sasa atau dipanggil 'sado' seperti yang kerap dilakukan kebanyakan selebriti lelaki lain. Bagaimanapun menurut Zarul, 44, merasakan sudah memadai dia memiliki badan yang sihat dengan melakukan aktiviti senaman di pusat kecergasan. "Bukan nak badan sado (sasa), tapi saya perlu pastikan tahap kecergasan sentiasa baik, itu sahaja. "Lagi pun saya sudah berumur, kalau tak amalkan gaya hidup sihat ia akan menjejaskan tahap kesihatan," katanya kepada mStar Online. Zarul berharap perkongsian mengenai aktiviti kecergasan dapat menjadi motivasi kepada pengikutnya di media sosial. -foto Instagram @zarulumbrella Zarul atau Zairulkefli Husin diminta mengulas mengenai gambar dan video yang dimuat naik di Instagram ketika mengunjungi pusat kecergasan sejak kembali aktif dalam bidang seni. Menurut vokalis kumpulan Umbrella itu, selain aktiviti kecergasan di gim, dia turut mengamalkan diet pemakanan yang seimbang bagi mengekalkan bentuk badan yang menarik. "Paling penting adalah untuk kekalkan bentuk badan sekarang ini. Dulu pada 2010 ketika masih bekerja sebagai pramugara, berat badan saya pernah naik. "Tapi dengan disiplin yang tinggi, saya berjaya mendapatkan bentuk badan yang lebih baik," katanya. Usia bukan penghalang untuk Zarul aktif di gim. Selain aktif menyanyi, Zarul kini mula mencuba nasib sebagai pelakon selepas membintangi drama bersiri 16 episod berjudul Cik Serba Tahu bagi tayangan saluran Astro Ria (104). Drama yang akan ditayangkan pada April depan itu turut membariskan pelakon Remy Ishak dan Sari Yanti. "Walaupun sibuk dengan jadual yang padat, ia bukan alasan untuk saya tidak menjaga kesihatan. "Tambahan pula ketika masuk set lakonan, ia menuntut komitmen yang tinggi sebagai pelakon. Jadi saya perlu sentiasa cergas dan bersedia," katanya.