PETALING JAYA: Pelakon Yana Samsudin memberitahu sentiasa membawa anaknya, Aisy Mateen yang kini berusia lapan bulan ke mana sahaja dia pergi termasuk ke lokasi penggambaran. Yana berkata, dengan pelbagai kes melibatkan penderaan kanak-kanak sejak akhir-akhir ini membuatkan dia bimbang untuk menghantar anak lelakinya itu ke rumah pengasuh atau pun taska. "Saya memang tak pernah tinggalkan dia dengan sesiapa dan akan sentiasa membawanya ke mana sahaja saya pergi. "Bukan tidak mahu mencari pembantu atau pengasuh tetapi dengan pelbagai kes penderaan kanak-kanak membuatkan saya takut. "Saya pun sebenarnya lebih selesa menguruskan Aisy sendiri dengan bantuan suami," katanya kepada mStar Online. Yana bimbang untuk menghantar anaknya ke taska atau pun rumah pengasuh. Dalam pada itu, Yana atau Norliana Samsudin, 33, berkata, dia bersyukur kerana Aisy jarang menimbulkan masalah terutama jika dia membawanya ke lokasi penggambaran. Atas dasar itu juga kata aktres ini, dia terpaksa menolak tawaran lakonan sebagai watak utama kerana tidak mahu berada terlalu lama di set. "Kalau drama berepisod yang panjang dan memerlukan saya berlakon sebagai watak utama memang buat masa ini saya tolak. "Walaupun Aisy jarang meragam jika dia ikut saya ke lokasi tetapi seboleh-bolehnya saya tidak mahu dia berada terlalu lama di set. "Tetapi Alhamdulillah dia macam faham situasi emaknya ini dan dia senang dijaga," katanya. Tambah Yana, setiap kali mempunyai waktu senggang di antara penggambaran dia akan memastikan Aisy mendapat perhatian daripadanya agar dia tidak berasa diabaikan. Yana berharap dikurniakan ramai anak. "Selain melayan karenahnya saya selalu bercakap dengannya walaupun dia masih belum boleh bercakap. "Saya rasa cara itu membantu membuatkan dia tenang dan rasa disayangi," ujarnya. Sementara itu, Yana berkata, dia juga bersyukur kerana pihak produksi memahami situasinya dan tidak mempunyai sebarang masalah apabila memberitahu dia membawa anak ke lokasi. Dalam perkembangan lain, Yana berkata, dia bersedia sekiranya diberikan rezeki untuk hamil lagi kerana dia dan suami, Fadzil Zahari memang mahukan anak yang ramai. "Usia saya pun bukannya muda lagi, jadi saya memang sentiasa bersedia jika diberikan rezeki anak lagi dalam masa terdekat ini. "Saya dan suami pun memang mahu anak yang ramai dan kalau boleh mahu setahun seorang. Jika diberkan rezeki anak kembar lagi bagus," katanya.