KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama selesa menjadi penyanyi, Siti Nordiana kini mencuba bidang baharu iaitu penulisan lirik lagu yang dihasilkan melalui single terbarunya berjudul Terus Mencintai. Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana berkata, dia meluahkan pengalaman duka yang pernah dilalui satu ketika dahulu melalui lagu tersebut. "Saya tidak tuju lagu ini kepada sesiapa secara spesifik, cuma saya pernah berada dalam situasi kedukaan. Saya pernah rasa 'down' dan diabaikan. "Tujuan saya menghasilkan lagu ini adalah untuk memberi inspirasi kepada peminat yang tahu kisah silam saya," ujarnya kepada mStar Online. Siti Nordiana yang juga juara program Gegar Vaganza (GV) ditemui ketika pelancaran single lagunya itu di Red Box Plus, Pavillion di sini pada Rabu. Siti Nordiana ketika pelancaran single Terus Mencintai. Penyanyi berusia 33 tahun ini turut menafikan dia masih tidak dapat melupakan pengalaman silamnya. Dalam pada itu Nana berkata, lagu ini mudah dinyanyikannya kerana ia umpama dia sedang berkomunikasi dengan individu yang pernah melukakan hatinya dahulu. “Saya menghayati lagu ini dengan penuh perasaan kerana saya sendiri pernah mengalami pengalaman tersebut," katanya. Lagi 'Terus Mencintai' merupakan single ketiga ciptaan Siti Nordiana selepas single ciptaan pertama dan kedua dilancarkan masing-masing pada tahun 2005 dan 2006. Single ini berjaya mendapat muat turun lagu Melayu terbanyak di carta iTunes pada hari pertama pelancarannya di laman tersebut.