suria

Fahrin Ahmad Tak Mahu Buka Instagram Anak

Fahrin lebih selesa menggunakan Instagram sendiri untuk berkongsi gambar gelagat anaknya. -foto AIMAN ARIFUDDIN / The Star

KUALA LUMPUR: Ketika ramai selebriti tempatan membuka akaun Instagram khusus untuk anak mereka, pelakon dan pengacara Fahrin Ahmad bagaimanapun memilih untuk tidak mengikut trend tersebut.

Menurut Fahrin, 38, dia dan isterinya, Elena Hani Eleas lebih selesa untuk berkongsi perkembangan anak sulung mereka itu menerusi Instagram masing-masing.

"Bagi saya tak perlulah nak buatkan Instagram khas menggunakan nama anak.

"Cukuplah kami sebagai ibu bapa berkongsi apa yang patut di Instagram kami sendiri, dia pun tak tahu apa-apa lagi," katanya kepada mStar Online.

Fahrin bersama anaknya, Khalifa Fahrel. -foto @elenaeleas

Fahrin dan Elena berkahwin pada Mei 2015 dan pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Khalifa Fahrel pada 29 September tahun lalu.

Berdasarkan pemeriksaan di Instagram peribadi Fahrin dan Elena, kedua-dua mereka aktif memuat naik gambar Khalifa dari masa ke masa.

Tambah Fahrin, sebagai bapa dia mempunyai pertimbangan sendiri mengenai perkara itu walaupun ramai selebriti lain memilih untuk mewujudkan Instagram khas dengan nama anak-anak mereka.

"Saya terbuka dalam isu ini. Maknanya biarlah anak saya sendiri yang buat pilihan untuk buka akaun media sosial ataupun tidak. Bila dia besar nanti, pandai-pandailah dia buat keputusan.

"Tapi kalau orang lain nak buat, itu hak mereka. Mungkin mereka mahu kongsi gelagat dan keletah anak-anak menerusi medium khusus," katanya.

Antara anak selebriti tempatan yang menjadi perhatian dan diikuti ramai ialah anak perempuan pasangan Scha Alyahya dan Awal Ashaari, Lara Alana (2.6 juta pengikut); anak lelaki Hairul Azreen dan Hanis Zalikha, Yusuf Iskandar (1.1 juta); anak perempuan Rozita Che Wan dan Zain Saidin, Aaisyah Dhia Rana (259,000) dan anak lelaki Yana Samsudin dan Fadzil Zahari, Aisy Mateen (202,000).

Fahrin Ahmad

Artikel Lain