suria

Suami Nora, Johan Nawawi Meninggal Dunia

PETALING JAYA: Komposer Johan Nawawi yang juga suami kepada Nora Ariffin meninggal dunia selepas dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Subang Jaya di sini awal pagi Jumaat.

Berita itu disahkan oleh isterinya Nora dalam satu kiriman ringkas mesej suara.

Johan, 52, dikatakan dibawa ke pusat perubatan berkenaan kerana keadaan kesihatannya kurang mengizinkan dan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.30 pagi.

Nora disisi jenazah arwah suaminya, Johan.

Menurut anak Allahyarham, Mohd Syakir Alif, bapanya itu meninggal dunia akibat serangan jantung.

Johan banyak mencipta lagu untuk isterinya seperti Satu, Desa Tercinta, Naluri dan Samudera.

Jenazah akan dimandikan dan dikafankan di Masjid Kampung Tunku, di sini dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Jumaat.

Allahyarham yang merupakan penggubah lagu pop sejak 1980-an adalah anak bekas Ketua Pengarah Pusat Islam yang pertama, Mohd Nawawi Mahmud.

Nora bersama anak sulungnya, Mohd Syakir Iman.

Sepanjang kariernya sebagai komposer, Allahyarham turut menghasilkan lagu berunsur ketuhanan seperti Erti Al-Fatihah, nyanyian Putri - anaknya. Lagu tersebut hasil adaptasi daripada surah al-Quran iaitu al-Fatihah. 

Lagu berkenaan turut dimuatkan dalam siri animasi Ummi - Ceritalah Pada Kami! terbitan Hud-Hud Media Sdn. Bhd., dan Erama Records Sdn Bhd selain lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan nasyid Raihan pada 1990-an.

Johan berpendapat lagu-lagu yang berunsur ketuhanan boleh dianggap sebagai nasyid kerana lirik-liriknya mendorong ke arah kebaikan.


Lagi berita mengenai Allahyarham Johan Nawawi

Johan Tak Sempat Pakai Tuksedo Di Ulang Tahun Perkahwinan - Nora


Johan Nawawi, Nora Ariffin

Artikel Lain