KUALA LUMPUR: Penyanyi Siti Sarah Raissuddin mengakui timbul sedikit rasa bersalah terhadap anak-anak dan suaminya apabila dia kurang bersama mereka selepas kembali aktif menyanyi. Sarah, 33, berkata, dia rindukan dirinya dahulu yang sentiasa mempunyai masa untuk keluarga. "Saya rindukan diri saya dulu yang selalu berada di rumah. Saya rasa teruk dan bersalah bila suami ajak saya keluar bercuti pada hujung minggu tetapi saya ada kerja. "Kalau dulu, apabila suami ajak sahaja keluar, saya terus berkemas tapi sekarang semuanya perlu dirancang awal," ujarnya kepada mStar Online. Pasangan ini berkahwin pada 26 Februari 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 6, Dzahira Talita Zahra, 3, dan Ariq Matin yang berusia setahun. Siti Sarah dan Shuib bahagia melalui kehidupan berumah tangga. FOTO: HAZIM FAUZI Sarah dan suaminya Shuib (Sepahtu) ditemui pada majlis sidang media Minggu Setiausaha Menara Kuala Lumpur di sini, Khamis. Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif, Menara Kuala Lumpur, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan Persembahan akan diadakan pada 13 April depan. Turut terlibat dalam acara yang bakal diadakan di Megaview Banquet Hall itu ialah Rahim (Sepahtu). Bagaimanapun, Sarah berkata, dia bersyukur suaminya sangat memahami dan bertolak ansur dalam hal penjagaan anak-anak. Dari kiri Shuib, Siti Sarah, Meor Shahril Anuar dan Rahim. FOTO: HAZIM FAUZI "Sekarang nak cari masa bercuti sama-sama susah, Shuib banyak masa pada hari minggu, tapi saya banyak persembahan pada hari minggu pula. "Kalau saya ajak dia ke tempat kerja anak-anak pula kasihan tinggal di rumah. Selalunya kalau saya menyanyi hujung minggu, dia yang akan ambil tanggungjawab jaga anak-anak," ujarnya. Sementara itu, bercakap tentang minggu setiausaha tersebut, dia akan menyanyikan lebih enam buah lagu kegemarannya. Persembahan berdurasi lebih sejam itu juga akan dihiburkan dengan persembahan komedi daripada suaminya dan Rahim. "Alhamdulillah, dibuka untuk jualan, tiket VVIP sudah pun habis dijual. Saya berterima kasih terhadap kepercayaan yang diberikan oleh pihak Menara Kuala Lumpur terhadap kami," ujarnya. Tiket dijual dengan harga sekitar RM3,100 sehingga RM7,600 setiap meja. Bagi yang berminat boleh menghubungi 03-20205444 atau layari www.menarakl.com.my.