PETALING JAYA: Bekas peserta Malaysian Idol musim pertama, Zamil Idris memberitahu masih belum terlambat untuk dia berada dalam dunia seni walaupun terpaksa menunggu 10 tahun memiliki lagu sendiri. Zamil, 39, bagaimanapun mengakui persaingan yang dia hadapi ketika ini agak sengit dan mencabar. "Sepuluh tahun bukannya satu jangka masa yang pendek namun tidak terlambat untuk saya terus meletakkan harapan memiliki lagu sendiri suatu hari nanti. "Akhirnya Allah makbulkan doa saya pada tahun 2015 dengan terciptanya sebuah single berjudul 'Pesanan Terakhirmu' ciptaan Hazami yang ditujukan untuk arwah ayah saya. "Tahun 2017 pula menyusul single kedua berjudul 'Keranamu' ciptaan Azlan Abu Hassan yang saya sifatkan sebuah lagu taruhan dalam usaha menjenamakan nama saya," katanya kepada mStar Online. Zamil Zamil ditemui pada sesi ramah mesra bersama media anjuran Cloudworks Record di Grind22 Cafe, Bangsar, baru-baru ini. Dalam pada itu kata Zamil, jika diikutkan sebelum ini dia pernah merakamkan sebuah single ciptaan seorang komposer, namun terpaksa ditolak kerana ia kurang berkualiti. "Sebagai permulaan, pastinya saya mahukan sebuah karya yang mampu memperkenalkan identiti saya dalam industri dan dalam kes lagu itu, ia bukanlah produk yang harus saya promosikan. Bimbang akan mendatangkan impak tidak bagus,” katanya. Sementara itu mengenai strategi yang bakal dilakukan kata bekas pengacara rancangan 'Hello On 2' ini, dia berhasrat untuk aktif menggunakan aplikasi nyanyian atas talian Smule sebagai langkah promosi. "Selain membuat cover version di YouTube, saya tahu aplikasi Smule antara medium popular yang digunakan untuk berkongsi bakat namun saya akui agak terlambat menggunakan platform itu dan berhasrat memulakannya sedikit waktu lagi," ujarnya.