suria

"Babak Romantik Itu Tidak Datangkan Syahwat" - Aiman Hakim

Aiman berharap penonton bersikap terbuka ketika menonton filem Kimchi Untuk Awak. Foto AIMAN ARIFUDDIN

PETALING JAYA: Pelakon Aiman Hakim Redza berharap penonton akan bersikap terbuka terhadap babak romantik bersama aktres Emma Maembong dalam filem Kimchi Untuk Awak yang akan berada di pawagam bermula 30 Mac ini.

Jelas Aiman, sudah sampai masanya isu bersentuhan dan babak romantik dihentikan sebaliknya memberi fokus kepada jalan cerita hendak disampaikan.

"Kita kena hentikan memberi fokus kepada isu berpegangan atau babak romantik sebaliknya menghargai sesebuah filem itu dengan cara sepatutnya.

"Sebenarnya babak romantik yang dipaparkan pun tidaklah keterlaluan dan bagi saya ia tidak mendatangkan syahwat pun.

Paling penting jalan ceritanya bagus dan ada pengajaran yang hendak disampaikan," katanya kepada mStar Online.

Aiman mengulas mengenai babak dia yang melakonkan watak sebagai Daniel Lee mengendong Bella (Emma) yang dilihat tidak sesuai dengan penampilan Emma yang bertudung.

Aiman dan Emma.

Selain Aiman dan Emma, Kimchi Untuk Awak yang juga adaptasi novel tulisan Suri Ryana itu turut menampilkan pelakon seperti Sharifah Sakinah, Janna Nick, Ungku Hariz, Normah Damanhuri, Natasha Elyzza dan Dira Abu Zahar.

Dalam pada itu, Aiman berkata, dia tidak menolak untuk melakukan adegan itu kerana menghormati jalan cerita yang hendak disampaikan pengarah.

"Saya tidak boleh berpura-pura atau menjadi hipokrit dan apa yang saya lakukan dan tonjolkan dalam filem ini adalah kerana keikhlasan hati saya sebagai pelakon.

"Saya melihatnya dari sudut seni selain menghormati skrip dan apa yang dipaparkan itu hanyalah lakonan dan tidak berlebih-lebihan pun," ujarnya.

Sementara itu, bercakap lanjut mengenai Kimchi Untuk Awak, Aiman berkata, penggambaran di beberapa lokasi di Seoul, Korea Selatan memberi cabaran kepadanya kerana perlu menghadapi cuaca sejuk.

Barisan pelakon Kimchi Untuk Awak.

Jelasnya, faktor cuaca itu membuatkan dia sukar melontarkan dialog kerana berada dalam keadaan tidak selesa.

"Selama tiga minggu kami berkampung di Korea untuk penggambaran dan ia pengalaman menyeronokkan namun faktor cuaca memberi cabaran kepada kami.

"Memang cukup susah untuk berdialog kerana perlu berlawan dengan keadaan cuaca yang sejuk tambahan pula ia berangin," jelasnya.

Tambahnya, dia juga mengambil inisiatif mempelajari bahasa Korea daripada adiknya memandangkan ada dialog memerlukan dia menggunakan bahasa itu.

"Adik perempuan saya pernah tinggal di Seoul dan dia fasih berbahasa Korea jadi saya belajar daripadanya.

"Secara keseluruhan saya seronok kerana banyak ilmu yang saya kutip tambahan pembikinan filem dan drama jauh berbeza.

"Kimchi Untuk Awak sebuah filem romantik komedi ringan dan Insya-Allah penonton akan terhibur," jelasnya.

Artikel Lain