suria

Nora Danish & Nedim Selamat Bernikah

Nora mengucup tangan suaminya, Nedim Nazri dengan disaksikan oleh anak-anak mereka selepas sah disatukan sebagai suami-isteri pada malam Khamis.

PETALING JAYA: Selepas tiga tahun menyulam cinta pasangan sensasi Nora Danish dan Nedim Nazri akhirnya bergelar suami-isteri dengan dua kali lafaz pada malam Khamis.

Pasangan itu disatukan pada sebuah majlis tertutup kira-kira pukul 8.37 malam di Glasshouse at Seputeh, dekat sini tanpa liputan media.

Nora atau Nora Danish Mohd Hanif, 36, dan Nedim dinikahkan oleh jurunikah Khairul Asyraf Ahmad dan pengantin perempuan turut menerima mas kahwin berjumlah RM300 daripada pengantin lelaki sementara wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.

Nora kelihatan berseri-seri dalam persalinan rona putih daripada koleksinya sendiri iaitu Owl By ND.

Pernikahan mereka turut disaksikan oleh kaum keluarga dan kenalan terdekat kedua-dua belah pihak.

Nora berkata, majlisnya itu diadakan secara sederhana selain bersifat peribadi buat dirinya dan suami.

“Saya dan Nedim pernah merasai majlis pernikahan yang dibuat secara besar-besaran, namun untuk kali kedua ini biarlah kami bersederhana.

“Tidak semestinya majlis sederhana itu tidak meriah. Kami memilih cara ini kerana ia lebih peribadi dan intim," katanya dalam satu kenyataan kepada pihak media.

Tambah Nora, seperti mana pasangan berkahwin lain, dia dan Nedim berharap perkahwinan itu akan kekal berpanjangan sehingga ke akhir hayat.

Ditanya mengenai cahaya mata, Nora memberitahu dia tidak menolak sekiranya diberikan rezeki.

“Ia seperti impian jadi nyata dengan penyatuan ini. Sudah lama saya tunggu momen ini untuk disatukan dengan belahan jiwa.

“Harap semua dapat doakan kebahagiaan saya dan suami," katanya.

Untuk rekod, ia adalah perkahwinan kedua buat kedua-dua pasangan itu.

Nora sebelum ini pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli dan mereka mempunyai seorang anak iaitu Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, 8 tahun.

Mereka bercerai pada 10 Julai 2008 selepas dua tahun berkahwin.

Nedim juga seorang duda anak satu selepas dikatakan bercerai pada tahun 2013.

Nora Danish, Nedim Nazri

Artikel Lain