suria

Ragu-Ragu Suara Sendiri, Diana Danielle Sertai Kelas Vokal

Diana tampil dengan single solo pertamanya yang berjudul Tentang Kita. Foto AZLINA ABDULLAH

PETALING JAYA: Pelakon Diana Danielle pernah menyertai kelas latihan vokal sebagai persediaan untuk tampil dengan single solo pertamanya berjudul Tentang Kita.

Diana, 26, berkata, apa yang dilakukan itu atas inisiatif sendiri kerana pernah berasa ragu-ragu dengan kemampuan vokalnya memandangkan dia lebih dikenali sebagai pelakon.

"Saya sebenarnya sudah lama menyertai kelas vokal sebelum berhasrat untuk serius sebagai penyanyi kerana saya ada keraguan sama ada kemunculan saya boleh diterima atau pun tidak.

"Ini kerana saya lebih dikenali sebagai pelakon namun apa yang saya lakukan itu adalah untuk diri sendiri dan bukannya untuk memuaskan hati orang lain.

"Menjadi seorang penyanyi memang impian saya sejak kecil malah sejak usia empat tahun, hari-hari saya menyanyi dan Alhamdulillah akhirnya impian saya tercapai," katanya kepada mStar Online.

Pemilik nama sebenar Diana Danielle Danny Beeson ini ditemui pada majlis pelancaran single solo pertamanya bersama Warner Music Malaysia iaitu Tentang Kita di sini, Jumaat.

Lagu itu gubahan DJ Fuzz manakala liriknya oleh Alabbas dan Muariffah.

Diana sentiasa mencari ruang memperbaiki diri.

Dalam pada itu, Diana berkata, sekiranya ada pihak mengkritik kemampuan vokalnya seperti mana terjadi kepada beberapa pelakon yang bergelar penyanyi, dia menggangap ia perkara biasa.

"Semasa saya mula-mula terlibat dalam bidang lakonan pun teruk juga saya kena kritik sehingga ada yang kata lakonan saya 'kayu'.

"Pada saya apa orang ingin kata itu tidak penting kerana paling mustahak saya kena sentiasa memperbaiki diri dari masa ke semasa," ujarnya.

Bercakap lanjut mengenai Tentang Kita, Diana memberitahu lagu tersebut sudah siap dirakamkan pada Mac tahun lalu namun ia tidak dapat dilancarkan kerana kurang pengalaman dalam soal pengedaran sesebuah lagu.

Bagaimanapun kata pelakon filem Kami Histeria ini, pereka fesyen, Melinda Looi telah memperkenalkannya dengan Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy untuk berbincang mengenai pengedaran Tentang Kita.

"Jujurnya saya memang tiada pengalaman dalam bab pengedaran atau tentang bidang muzik walaupun saya ada sebuah lagu yang telah siap.

Diana turut menyampaikan lagu Tentang Kita pada sidang media pelancaran singlenya.

"Alhamdulillah beberapa siri perbincangan dengan Darren telah menjadikan impian saya melancarkan lagu ini terlaksana," katanya.

Diana memberitahu ketika menghasilkan Tentang Kita ia banyak diinspirasikan daripada artis kegemarannya seperti Bob Dylan, Sade, Norah Jones dan Tracy Chapman.

Jelas Diana lagi, lagu itu turut disifatkan sebagai ringan tetapi mesra radio.

"Mungkin ramai yang tidak percaya tetapi saya banyak mendengar lagu-lagu lama kerana terpengaruh dengan ibu sejak kecil.

"Tetapi penyanyi-penyanyi ini banyak beri saya inspirasi dalam mencari melodi dan rentak yang sesuai dengan vokal saya.

"Ia sebuah lagu yang ringan dan dimasukkan elemen 'hippie' dan reggae sebagai elemen kelainan dalam Tentang Kita," ujarnya.

Bercakap mengenai karier lakonannya, Diana berkata, dia baharu sahaja selesai menjalani dua buah drama bersiri iaitu Raisha untuk siaran TV3 dan Di Sebalik Wajah (HyppTV).

Diana Danielle, Tentang Kita

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain