PETALING JAYA: Pelakon Idris Khan mengambil keputusan memperlahankan karier lakonannya pada tahun ini bagi memberi fokus kepada tugas sebagai penerbit menerusi syarikat produksinya, Centro Pictures. Idris berkata, sebagai sebuah produksi baharu masih banyak perkara perlu dipelajari tambahan pula menggalas tanggungjawab sebagai penerbit memerlukan komitmen tinggi. "Sejak akhir-akhir ini saya kurang muncul di televisyen bukan kerana tiada tawaran tetapi memilih memperlahankan karier lakonan buat seketika. "Ini kerana saya ingin memberi tumpuan kepada tanggungjawab sebagai penerbit di syarikat produksi yang saya kongsi bersama tiga lagi rakan. "Kami sekarang sedang sibuk dengan proses suntingan filem terbitan pertama kami iaitu KL Wangan yang dijangka berada di pawagam pada Julai depan," katanya kepada mStar Online. Idris memberitahu masih banyak perlu dipelajari sebagai penerbit. Syarikat produksi itu turut dimiliki oleh aktor dan pengarah, Pekin Ibrahim bersama dua lagi rakan mereka. Bercakap mengenai tugasnya sebagai penerbit, Idris berkata, walaupun sebelum ini tidak mempunyai pengalaman namun dia yakin dapat melakukannya asalkan sanggup belajar daripada bawah. "Saya memang tiada pengalaman sebagai penerbit cuma ada minat terhadap aspek belakang tabir dalam penghasilan sesebuah produksi. "Paling penting kita kena cari ilmu dan tidak malu untuk belajar walaupun terpaksa bermula daripada bawah. "Menguruskan sebuah produksi memang saya akui bukan mudah tetapi apabila kita minat dan berusaha dalam sesuatu bidang itu, Insya-Allah jalan itu akan ada," jelasnya. Rakan kongsi Idris, pelakon dan pengarah Pekin Ibrahim. Kata Idris, Centro Pictures sebelum ini pernah menghasilkan sebuah dokumentari berjudul Madness of Borneo yang akan dibawa menyertai Festival Filem Cannes oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas). Sementara itu, Idris berkata, dia masih akan berlakon cuma hanya mengambil telefilem atau watak pembantu yang tidak memerlukan masa panjang di lokasi penggambaran. Kata Idris, dia tidak mempunyai rancangan untuk meninggalkan bidang seni sebaliknya akan mengimbangi di antara dua bidang tersebut. "Saya tidak boleh tamak dan ingin buat semua benda dalam satu masa kerana perlu tahu kemampuan kita di tahap mana sebaliknya kena bijak dalam membuat pembahagian dalam kerja. "Saya masih berlakon tetapi hanya mengambil telefilem atau watak kecil yang tidak mengambil masa lama di lokasi penggambaran dan boleh memberi tumpuan kepada syarikat," ujarnya.