suria

Ariff AB Tembusi Pasaran Muzik United Kingdom

Ariff AB sedang mencipta nama di luar negara. Foto Facebook ARIFF AB MUSIC

KUALA LUMPUR: Ariff Abu Bakar tidak pernah menyangka menjadi artis bebas di United Kingdom (UK) jauh dari tanah airnya, boleh menjadi satu platform hebat untuk menyerlah dalam industri muzik.

Bermula tanpa mempunyai latar belakang dalam bidang muzik, Ariff Ab, nama pentasnya, berkata keputusan untuk meneroka industri muzik muncul selepas menyedari impiannya untuk menjadi ahli sukan tidak sesuai dengan personalitinya.

Dengan semangat tidak mahu mengalah, pemuda berusia 27 tahun dari Subang Jaya memenangi pertandingan nyanyian dan menulis lagu yang diadakan di Kuala Lumpur pada 2009, dan ia memberikannya peluang untuk membuat persembahan di Ekspo Dunia 2010 di Shanghai.

"Dengan sedikit pendedahan untuk melangkah ke arena antarabangsa, saya mula keluar dan melihat dunia," katanya sambil menambah, selepas Shanghai, beliau membuat persembahan di Singapura, Indonesia, Thailand dan pada 2013 membuat satu lonjakan besar ke UK.

"Saya lebih terdedah di UK apabila saya melahirkan satu kumpulan pengikut komuniiti melalui SoundCloud (platform pengedaran audio dalam talian berpangkalan di Berlin, Jerman, yang membolehkan pengguna memuat naik, merakam, promosi dan berkongsi bunyi yang dihasilkan secara semula jadi).

Di situlah saya mula berkecimpung dalam muzik sebagai karier saya," katanya.

Beliau kemudian menyertai Navigator Records, sebuah syarikat rakaman bebas di UK, yang dijadikan platform untuk beliau mengadakan persembahan.

"Ketika itulah, penerbit BBC mendekati saya dan memilih saya untuk berada di kedudukan 40 teratas dalam rancangan bakat The Voice pada 2014.

Malangnya, saya tidak dapat menerima tawaran itu kerana masalah visa. Jadi, saya balik ke Malaysia dan menyusun semula strategi.

"Selepas itu, saya ditawarkan untuk satu siri jelajah selama dua bulan sekitar England di mana saya membuat persembahan di pelbagai venue hampir setiap hari dan lagu-lagu saya diputarkan di Radio BBC 1 and 2," kata Ariff yang ketika ini berada di Malaysia untuk bercuti.

Tahun lepas, runut muzik promosinya, Crazy Love dan The Wolf daripada album baharu keduanya Blue Skeleton dipaparkan dalam program BBC Music Introducing.

Album Blue Skeleton dengan 11 trek dijangka dikeluarkan di Malaysia dan UK selepas Hari Raya Puasa pada Jun, tahun ini.

Sementara itu, 3,000 salinan album debut pertamanya bertajuk Transmission Vol.1 yang dilancarkan pada 2014 telah dijual.

"Saya sentiasa menulis lagu saya berdasarkan pengalaman hidup dan pemerhatian terhadap orang di sekeliling saya, dan dengan gabungan kesengsaraan dan inspirasi," katanya.

Ariff yang mempersembahkan genre alternatif "Indie Freak Folk" merupakan penyanyi-penulis lagu lelaki pertama Malaysia yang diundang untuk membuat persembahan di ibu pejabat Youtube-Google di London, tahun lepas.

Berkongsi pengalaman dan cabaran yang dilaluinya di UK, pemegang diploma dalam perniagaan dan muzik dari International College of Music (ICOM) dan segulung ijazah dalam penyiaran dari International Advertising, Communication and Technology (IACT) College itu berkata ia bukan satu perjalanan yang mudah untuk menjadi terkenal sebagai artis bebas.

"Ia bukan seperti apabila anda berada di UK, anda boleh berasa relaks dan mengambil mudah. Tuntutannya sentiasa tinggi sebagai warga asing memandangkan keutamaan diberikan kepada penduduk tempatan.

"Jadi, sebagai warga asing saya perlu buktikan bahawa saya lebih baik daripada mereka," katanya.

Walaupun telah mengadakan persembahan di platfrom antarabangsa, Ariff masih berasa takut semasa berada di pentas dan untuk mengatasi masalah itu, beliau sentiasa memakai topi semasa membuat persembahan dan kini telah menjadi  trademarknya.

Mengenai langkah seterusnya, Ariff berkata dengan bantuan pengurusan bebas dan Decca Records UK, beliau berharap untuk bekerjasama dengan dua penyanyi yang juga penulis lagu Aurora Aksnes dari Norway dan Charlotte OC dari UK menjelang akhir tahun ini. - BERNAMA

Ariff Abu Bakar

Artikel Lain