suria

Lakaran Syria Kartunis Don Dalam 'What A Colorful World'

Don tampil dengan buku illustrasi travelog pertamanya iaitu What A Colorful World. Foto RAYMOND OOI

JIKA disebut tentang majalah Gila-Gila yang pernah menjadi kegilaan pembaca sekitar era 90-an pasti kartun Dan Din Don serta Pengembaraan Pendekar Mata Tiga dan Profesor Serba Tahu antara pilihan setiap kali keluaran terbaharu berada di pasaran.

Malah nama kartunisnya iaitu Don atau Saadon Ishak menjadi cukup sinonim dalam dunia kartun sehingga dia sering menjadi rujukan dalam perkara berkaitan bidang itu.

Bagaimanapun perubahan landskap industri komik selain faktor lambakan kartun dari luar negara yang banyak mempengaruhi minda generasi dewasa ini membuatkan banyak majalah kartun gulung tikar.

Begitu juga dengan Don, beliau dilihat tidak lagi aktif sebagai kartunis walaupun karya-karyanya sentiasa terpahat di hati peminat.


Kesempatan penulis bertemu empat mata dengannya yang berkunjung ke Menara Star baru-baru ini sebenarnya meninggalkan kesan cukup mendalam.

Walaupun kelibatnya sudah lama tidak kelihatan berbanding karya-karyanya yang terus diingati sehingga ke hari ini, namun Don sebenarnya masih melukis.

Don tampil dengan sebuah buku illustrasi travelog berjudul What A Colorful World - dan ia bukan sekadar sebuah buku biasa.

Banyak kisah menarik disebalik lakaran dihasilkan dan kunjungan Don ke Syria menarik perhatian penulis.


Indah lakaran Don tentang negara terkenal dengan nama bumi Ambiya itu yang kini hanya kita dapat lihat kesengsaraan selain dihidangkan dengan kematian kanak-kanak meruntun jiwa.

Fikir penulis, Don cukup bertuah dapat menikmati keindahan negara itu dan kesudiannya berkongsi lakaran menerusi 42 muka surat mengenai Syria dalam What A Colorful World sesuatu yang istimewa.

"Saya tidak mahu hanya sekadar melakar apa yang dilihat tetapi ingin mengisinya dengan kisah disebalik sesuatu tempat yang dilawati.

"Seperti di Syria yang terkenal dengan bumi Ambiya', pemerintahan Islam, para Ulama, panglima Islam termasuk empayar Roman adalah suatu ketika dahulu sebuah negara yang sangat indah dan bertamadun dari segala segi.


"Namun kini keadaan di sana amat menyedihkan kerana banyak lokasi bersejarah yang pernah saya lawati telah dihancurkan oleh pemberontak dalam pergolakan peperangan yang sedang melanda negara itu.

"Masjid Imam Nawawi di Nawa khabarnya telah musnah, begitu juga Telaga Nabi Ayub di Deraa dan kota lama di Busra yang mempunyai peninggalan sejarah empayar Trojan, Collesium dan Nabatean Gate," ceritanya.

Kata Don, pengalaman berada di sana adalah antara pengalaman terbaik dan ia akan sentiasa terpahat di hatinya.

Selain Syria, What A Colorful World yang diterbitkan dengan kolaborasi bersama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) itu turut memaparkan kunjungannya ke Jerman dan Tunisia.


Bercakap lanjut mengenai bukunya itu, Don berkata, peluang berkunjung ke serata dunia memberi Don ilham untuk melukis pemandangan atau apa sahaja yang menarik perhatiannya namun pada awalnya ia dilakukan secara suka-suka.

"Pada peringkat awal, saya hanya melakar tempat-tempat menarik di negara yang pernah saya kunjungi dan memuat naik berkongsi tentangnya di Facebook.

"Langsung tiada niat untuk menerbitkan buku kerana apa yang dilakukan itu adalah secara suka-suka sahaja," katanya.

Bercakap lanjut mengenai minat baharunya itu, Don berkata, ketika berada di Sydney Australia dia tertarik dengan sebuah buku ilustrasi travelog di sebuah kedai yang lengkap dengan informasi, catatan serta lakaran spontan daripada pelukis dan penulisnya.


Olahan daripada pengalaman yang dibuat penulis itu sangat terperinci dan unik membuatkannya tertarik untuk melakukan perkara sama sebagai catatan peribadi.

Kata Don, dia lebih selesa mencatat segala pengalamannya melalui illustrasi kerana ekspresi melalui lukisan lebih teliti dan ada sentuhan peribadi.

"Alhamdulillah saya berpeluang berkunjung ke beberapa buah negara antaranya Amerika Syarikat, Eropah, Afrika, Asia dan sebagainya untuk bercuti bersama keluarga atau pun atas urusan kerja.

"Malah kesempatan menghadiri acara pelancongan antarabangsa dalam mempromosikan Malaysia di luar negara juga membawa saya ke pelbagai negara yang ada di antaranya langsung saya tidak terfikir untuk sampai.


"Walaupun jadual acara padat namun saya sentiasa menari ruang dan peluang untuk melawat kawasan sekitar dan saya hayati sepenuhnya.

"Saya sentiasa teruja degan keunikan sesebuah negara terutamanya dari sudut warisan sejarah, budaya dan masyarakat, bangunan serta lorong lorong bandarnya, kraftangan termasuk pemandangan," ujarnya.

Sinonim dengan dunia kartun, Don berkata, dia ingin menampilkan satu kelainan memandangkan sebelum ini dia lama meninggalkan dunia penerbitan buku.

Malah katanya, dia kini sedang giat menyiapkan buku illustrasi keduanya iaitu What A Colorful World (Perak) bersempena tahun melawat negeri itu pada tahun ini.

Selain itu Don juga sedang mengintai peluang untuk mengedarkan bukunya ke pasaran antarabangsa memandangkan ia ditulis dalam bahasa Inggeris.

Peminat yang ingin mendapatkan buku tersebut boleh membuat tempahan di laman Facebook/What A Colorful World atau Whatsapp 016-6963855.

What A Colorful World, Don, Gila-Gila

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain