PETALING JAYA: Kumpulan Nasyid Hijjaz berasa terkejut dan terharu apabila persembahan nyanyian mereka berjudul Sumayyah pada minggu pertama konsert Gema Gegar Vaganza malam Sabtu lalu menyentuh hati penonton. Penyanyi utama, Munif Ahmad berkata, dia tidak menjangka kumpulannya dipilih untuk memenangi Gema Terindah kategori Kenangan Terpahat berikutan berhadapan dengan pelbagai tekanan sepanjang berada di atas pentas. "Alhamdulillah, kami sendiri tidak sangka kerana pada awalnya selepas habis sahaja menyanyi saya yakin akan dapat komen negatif sebab saya tertekan menyanyi sambil menggunakan headfon. Ia merupakan kali pertama kami menyanyi menggunakan alatan itu sehingga ada ahli yang seperti lari tempo. "Saya rasa penyampaian kami pada malam itu kurang baik berbanding persembahan sebelum ini. Namun juri-juri beri komen positif sehingga memilih kami sebagai pemenang minggu pertama," ujarnya kepada mStar Online. Dia diminta mengulas tentang persembahan kumpulan Hijjaz pada malam konsert minggu pertama program Gema Gegar Vaganza (GGV) yang diadakan di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras di sini, malam Sabtu. Persembahan yang menyentuh hati juri dan penonton itu turut menjadi viral di laman-laman sosial sejak awal pagi Ahad. Dalam pada itu, Munif berkata, lagu tersebut dapat menyentuh hati penonton berikutan ia merupakan sebuah kisah benar yang berlaku pada zaman Rasulullah. "Lagu ini mempunyai kekuatan tersendiri kerana ia adalah kisah benar yang mana saya percaya ramai yang tahu dan menghayati lirik-lirik yang kami sampaikan. "Selain itu, suasana pada malam itu juga membuatkan penonton benar-benar rasa apa makna sebanar lagu tersebut," ujarnya. Dalam pada itu, Munif mengakui membuat pilihan yang betul apabila bersetuju menyertai pertandingan realiti tersebut biarpun pada awalnya mendapat banyak tentangan. Katanya, ia adalah platform yang baik untuk perjuangan mengembalikan kegemilangan nasyid dalam indutri hiburan tanah air. "Pada awalnya ramai yang mempertikaikan kenapa kami setuju menyertai pertandingan itu kerana Hijjaz sudah berada lama dalam industri. "Tapi saya rasakan peluang ini adalah satu-satunya platform kepada penyanyi nasyid untuk kembalikan minat pendengar kepada lagu-lagu nasyid. Saya rasa program ini lebih banyak memberi kesan positif berbanding negatif," ujarnya. Peserta lain yang bertanding adalah Hafiz Hamidun (Jodoh Berdua), Ana Raffali (Tolong Ingatkan Aku), Bienda (Penantian), Azmi Caliph Buskers (Hanya Namamu), Izam EYE (Izinkan Selamanya Namamu Di Hati) dan Wani (Alhamdulillah). Manakala, Saujana (Suci Sekeping Hati), Mirwana (Aku Tanpa Cintamu) dan UNIC (Hanya Tuhan Yang Tahu).