suria

"Saya Sudah Jawab, Selebihnya Tanya Aqasha" - Rita Rudaini

Rita Rudaini minta tanya pada Aqasha mengenai hubungan mereka.

PUTRAJAYA: Aktres Rita Rudaini terus mengambil pendekatan untuk mengunci mulut berkaitan kontroversi hubungan istimewanya dengan pelakon Aqasha yang hangat diperkatakan sejak bulan lalu.

Rita, 41, berkata, perkara selanjutnya perlu dijawab sendiri oleh pihak pelakon lelaki berkenaan.

"Saya sudah jawab isu itu dalam sebuah akhbar mingguan dan selebihnya boleh tanya sendiri kepada Aqasha.

"Cukup rasanya apa yang saya terangkan dalam akhbar hari ini (Ahad) itu," ujarnya kepada mStar Online.

Rita ditemui pada malam Anugerah Festival Drama Kuala Lumpur 2017 (DFKL) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Anytarabangsa Putrajaya (PICC), malam Ahad.

Terdahulu, Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar dikaitkan dengan isu tersebut selepas dakwaan dibuat isteri Aqasha iaitu Noor Baizura Mohd Sabri kononnya Rita cuba menganggu rumah tangga dia dan suami.

Rita Rudaini dan Aqasha bergandingan dalam drama Misi Laksa Dan Laksam.

Baizura sebelum ini telah berkongsi di Instagram perbualan suaminya dan Rita sehingga ia mendapat perhatian netizen yang mempertikaikan tindakan aktres itu.

Dalam pada itu, menerusi laporan akhbar mingguan pada Ahad, Rita menjelaskan cetakan skrin yang didedahkan oleh isteri pelakon tersebut adalah gurauan sesama pelakon di set penggambaran semata-mata.

Tambah Rita, dia mengenali Aqasha atau nama sebenarnya Firdee Akassya Rosli, 35, sejak aktor itu berusia 19 tahun lagi dan menyifatkan hubungan berkenaan seperti sahabat baik.

Malah, dalam projek terbaharu, mereka bakal bergandingan sebagai suami-isteri dalam drama Misi Laksa Dan Laksam yang bakal ditayangkan di TV3 tidak lama lagi.

“Memang tidak dinafikan dalam menjayakan watak itu, sebagai kawan lama, kadangkala kami terlepas bergurau. Malah, orang produksi sendiri tahu bagaimana dalam kalangan kami bercanda. Cuma bagi orang luar yang tidak faham, pastinya susah untuk menerimanya.

“Bukan itu saja, dalam menjayakan watak itu kami membayangkan kalau kami benar-benar sebagai suami dan isteri, bagaimana situasinya. Berapa orang anak, rupa mereka macam mana dan apa saja yang boleh kami bayangkan membabitkan karakter dijayakan,” katanya.

Bagaimanapun ujar Rita perkara itu hanya dalam situasi bekerja semata-mata kerana mahu memastikan watak dijayakan itu berkesan.

Rita Rudaini, Aqasha

Artikel Sebelum

Artikel Lain