suria

"Kami Tumpang Tuah Buntat" - Ziela Jalil

Lakonan Muhammad Ariff Abdullah yang memegang watak Buntat dalam '7 Hari Mencintaiku' melonjakkan popolariti drama berkenaan. - FOTO IG Tontonmy.

PUTRAJAYA: Penerbit drama Datuk Ziela Jalil menyifatkan kejayaan yang peroleh 7 Hari Mencintaiku  dalam Drama Festival Kuala Lumpur 2017 (DFKL2017) sebagai menumpang tuah pelakon kanak-kanak Muhammad Ariff Abdullah, 12, atau dikenali sebagai Buntat.

Pemilik syarikat produksi Pena Creative Pictures ini berkata, lakonan kanak-kanak berkenaan telah menyentuh hati penonton sehingga menjadikan episod 20 drama berkenaan meraih populariti secara mendadak.

"Semua yang terlibat dalam drama ini sama ada watak besar atau kecil memainkan peranan dan saya juga berterima kasih kepada Buntat kerana kejayaan ini juga sebenarnya menumpang rezeki dan tuah dia.

"Cerita ini menerima impak yang kuat pada episod 20 bila Buntat meninggal dunia dan kemudian mendapat perhatian sehingga menjadi fenomena," ujarnya kepada mStar Online.


Barisan pelakon drama 7 Hari Mencintaiku. Muhammad Ariff atau Buntat di bahagian tengah (depan) Foto THE STAR M.Azhar Arif.

Ziela ditemui pada sidang media Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2017 (DFKL) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, malam Ahad.

Drama 28 episod yang disiarkan di slot Akasia itu turut merangkul enam kategori iaitu Drama Pilihan, Pengarah Pilihan yang dimenangi oleh Jamal Khan, dan Skrip Pilihan daripada PGRs Team.

Selain itu, pelakon utama drama berkenaan iaitu Shukri Yahaya dan Siti Saleha memenangi kategori Pasangan Pilihan dan Aktor Pilihan.

Manakala, lagu nyanyian Dayang Nurfaizah dalam drama berkenaan berjudul Lelaki Teragung turut meraih anugerah Lagu Tema Pilihan.

Dalam pada itu, menceritakan tentang watak Buntat, Ziela berkata, kanak-kanak itu dipilih selepas dicadangkan oleh pembantu produksi.

"Dalam naskhah itu ada watak kanak-kanak lembam (masalah pembelajaran) dan pembantu produksi mengenali Buntat menerusi sebuah filem yang pernah dilakonkan sebelum ini iaitu Jibam.

"Lakonan dia ikhlas dan sampai ke hati sehingga membuatkan penonton rasa betul-betul sedih, dia juga seorang yang senang terima tunjuk ajar," ujarnya.

Dalam pada itu, Ziela berkata, kerjasama berpasukan juga menjadi kekuatan drama yang turut mencecah tontonan 12 juta tontonan itu.

Selain itu, katanya, dia tiada perancangan untuk melanjutkan drama tersebut kepada edisi istimewa.

"Biarlah drama ini berakhir di situ dan saya tidak merancang untuk ada edisi khas raya atau apa-apa lanjutan lain," ujarnya.

7 Hari Mencintaiku, Buntat, DFKL2017

Artikel Lain