KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Sheila Majid membuat kejutan apabila mengumumkan bakal mengadakan konsert solo pertamanya dalam skala besar selepas tempoh tujuh tahun. Persembahan menerusi Sheila Majid The Concert Kuala Lumpur 2017 itu bakal diadakan pada 5 Ogos depan di Stadium Negara di sini. "Kejutan! Alhamdulillah impian saya untuk menghiburkan peminat dalam sebuah konsert berskala besar akhirnya tercapai. "Kesudian penaja merialisasikan penerbitan konsert ini memungkinkan segalanya. "Selain album baharu, ini adalah hadiah terbesar saya buat semua peminat saya di Malaysia," katanya kepada mStar Online. Sheila ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya berjudul Boneka di Hotel Hilton di sini, Selasa. Dalam pada itu, Sheila berkata, dia teruja dapat kembali mengadakan persembahan di Stadium Negara selepas beraksi di lokasi sama menerusi konsert Legenda pada 1991. Untuk rekod, kali terakhir Sheila mengadakan konsert solo di Dewan Filharmonik Petronas pada 2010. Konsert itu anjuran IME Malaysia, More Entertainment dan disokong Magada Entertainment. Tiket dari harga RM98 hingga RM888 akan mula dijual pada 14 April, 10 pagi menerusi www.ticketcharge.com.my.