suria

Balkisyh Semundur Jual Laksa, Nasi Ayam Kerana Tiada ‘Job’

Balkisyh terpaksa buka gerai untuk meneruskan kehidupan.

PETALING JAYA: Aktres Balkisyh Semundur memberitahu kekurangan tawaran berlakon sejak tiga tahun kebelakangan ini membuatkan dia terpaksa membuka gerai menjual nasi ayam kira-kira dua minggu lalu.

Balkisyh, 30, berkata, dia mula mencari pendapatan lain bagi menampung kos perbelanjaan harian keluarga selepas tidak mampu mengharapkan pendapatan lakonan seperti dahulu.

"Pada tahun pertama saya boleh bertahan lagi, namun selepas masuk tahun ketiga ini saya perlu lakukan sesuatu untuk cari pendapatan lain bagi menampung perbelanjaan seharian.

"Entah mana silapnya, saya tiada tawaran selain drama Mak Cun. Jadi, saya ambil keputusan untuk buka gerai tepi jalan di Wangsa Maju menjual nasi ayam kukus dan laksa," ujarnya kepada mStar Online.

Balkisyh bersama Datin Umie Aida merupakan antara pelakon utama Mak Cun. FOTO IG TONTONMY

Balkisyh ditemui pada pelancaran Mak Cun Mart yang diadakan di Sri Pentas, di sini, Khamis.

Pelakon yang pernah membintangi drama Rindu Awak 200% berkata, trend drama bersiri panjang juga menjadi punca dia kurang mendapat tawaran.

"Trend drama sekarang panjang berpuluh episod dan jika nama kita tidak terselit, lama jugalah kita nak tunggu drama lain.

"Lebih sukar bila kita bukan senarai nama kegemaran stesen televisyen. Saya pernah juga bertanya kepada mereka, mereka pula fikir saya yang tidak mahu lagi berlakon," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang watak Atul dalam drama bersiri Mak Cun, Balkisyh berkata, ia berjaya mengangkat namanya sebagai pelakon komedi, namun begitu memberi kesan negatif terhadap kerjaya lakonannya.

"Nama saya dikenali dengan watak komedi menerusi drama Mak Cun tapi kesan buruknya saya tidak diberi watak lain seperti dulu selepas watak Atul benar-benar melekat dengan saya.

"Orang memang semakin mengenali saya tapi hakikatnya tiga tahun saya sudah tiada tawaran," ujarnya.

Balkisyh Semundur

Artikel Lain