suria

Mia Ahmad Tak Sanggup Pandang Baju Resepsi Kahwin

Mia dan Izham sewaktu majlis persandingan di Terengganu pada 19 Mac lalu. -foto Instagram @izhamtarmizi

PETALING JAYA: Gara-gara terpaksa membatalkan majlis resepsi perkahwinan di ibu negara, pelakon Mia Ahmad mengakui dia masih bersedih dengan keputusan berkenaan.

Menurut Mia, 29, sehingga kini dua pasang baju yang sepatutnya digayakan pada majlis persandingan itu belum diambil walaupun sudah siap lebih sebulan lalu.

"Saya tak sanggup nak ambil, sedih sangat bila mengenangkan tentang baju kahwin.

Mia akur walaupun tidak dapat meraikan majlis perkahwinannya dengan kenalan di Kuala Lumpur. -foto Instagram @mia.ahm4d

"Entahlah, kalau ambil pun tak tahu bila nak pakai. Nak pakai pergi majlis hiburan nanti orang kata buang tabiat pula pakai wedding dress," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Jelas Mia, dua pasang baju berkonsep moden itu adalah daripada pereka fesyen, Cosry serta Lynda Rahim.

Mia dan suami, Mohd Izham Tarmizi Roslan membatalkan majlis resepsi di Kuala Lumpur yang sepatutnya diadakan pada 22 Mac lalu berikutan kepadatan jadual suaminya yang juga pemain bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT).

Resepsi itu sepatutnya adalah yang ketika bagi pasangan itu selepas kali pertama di Taiping pada 14 Januari dan yang kedua di kampung Izham di Terengganu pada 19 Mac lalu.

Mia dan Izham, 26, mendirikan rumah tangga pada 13 Januari lalu di Taiping, Perak.

Selain itu menurut Mia atau Shamiha Ahmad Baderi, 29, dia bersyukur apabila pihak yang terlibat dalam persediaan majlis itu memahami situasi yang dihadapinya.

"Nasib baik belum buat apa-apa pembayaran sama ada hotel mahupun pereka pelamin, RekaTemoor.

"Mereka faham kerana kami bukan sengaja batalkan majlis itu. Jadual Izham yang padat dengan latihan dan perlawanan memaksa kami mengambil keputusan ini," katanya.

Persalinan yang digayakan Mia dan Izham ketika majlis resepsi di Taiping. -foto Instagram @izhamtarmizi

Ditanya sama ada dia bercadang untuk mengadakan majlis persandingan di Kuala Lumpur pada waktu lain, pelakon Hati Perempuan itu bagaimanapun enggan meletakkan sebarang harapan mengenainya.

"Sudah empat bulan kami berkahwin, bulan depan sudah nak puasa dan kemudiannya raya pula.

"Malulah, nanti orang fikir sepanjang tahun asyik majlis perkahwinan saya saja," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Mia memberitahu dia bakal kembali aktif dalam bidang lakonan pada Mei depan.

"InsyaAllah pada awal bulan depan saya akan menjalani pengambaran drama komedi romantik 13 episod bersama Nazri Nazrief.

"Jadi terpaksalah tinggalkan suami sekejap dalam tempoh itu, mungkin sebulan lebih. Tapi Izham faham, lagi pun dia sedang sibuk dengan perlawan bola sepak," katanya yang kini menetap di Johor Bahru.

Mia Ahmad

Artikel Lain