suria

Bienda Puas Hati Dengan Persembahan Biarpun Tersingkir GGV

Bienda

KUALA LUMPUR: Penyanyi Bienda reda apabila nama diumum tersingkir pada minggu kedua konsert Gema Gegar Vaganza (GGV) yang berlangsung malam Sabtu.

Bagaimanapun, Bienda,32, berkata, dia berpuas hati dengan persembahan terakhirnya yang membawakan lagu Sejati nyanyian asal Faizal Tahir.

"Saya sudah bekerja keras untuk GGV dan berpuas hati dengan persembahan yang saya berikan malam itu.

"Saya sampaikan lagu tersebut ikhlas daripada hati kerana Allah dan saya anggap mungkin sampai di sini sahaja rezeki saya dalam pertandingan ini," ujarnya kepada mStar Online.

Bienda atau nama sebenarnya  Nor Razlinda Razli pada sidang media selepas konsert GGV yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, di sini.

Penyanyi yang popular dengan lagu Penantian itu mendapat undian terendah dan tersingkir pada malam tersebut.

Dalam pada itu, Bienda berkata, dia akan meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi dengan single terbaharu ciptaan komposer DJ Fuzz tidak lama lagi.

Selain itu, Bienda berkata, dia merancang untuk bercuti bersama keluarga terlebih dahulu sebelum kembali aktif sebagai penyanyi.

"Dalam masa terdekat ini, saya dan suami akan bercuti di sebuah pulau dalam Malaysia. Suami saya suka aktiviti menyelam, sudah lama kami merancang untuk pergi bersama, tapi selalu terbantut kerana saya sibuk.

"Insya-Allah selepas itu barulah saya sibuk dalam perancangan single terbaharu pada tahun ini juga," ujarnya.

Sementara itu, sembilan peserta yang masih bertanding adalah Hafiz Hamidun, Ana Raffali, Azmi Caliph Buskers, Izam EYE dan Wani.

Manakala peserta kumpulan Hijjaz, Saujana, Mirwana, dan UNIC.

Gema Gegar Vaganza, Bienda

Artikel Lain