suria

6ixth Sense & Sakura Band Kelola Fiesta Di Stesen LRT

6ixth Sense mengadakan persembahan pada Fiesta RapidRail di Stesen LRT Ara Damansara.

PETALING JAYA: Kumpulan popular 6ixth Sense dan Sakura Band diberi kepercayaan untuk menganjurkan Fiesta RapidRail di Stesen LRT Ara Damansara yang berlangsung sepanjang bulan April.

Anggota 6ixth Sense, Shahrul Effendy, berkata, penyertaan mereka selaku syarikat pengurusan acara adalah peluang untuk keluar daripada zon selesa dan mencuba sesuatu yang baharu dalam karier seni mereka.

"Kami sebenarnya berbangga diberi kepercayaan sepenuhnya oleh pihak Rapid Rail dalam mengelolakan acara sebegini.

"Sakura Band dan 6ixth Sense melihat penglibatan kami ini bukan sahaja sebagai selebriti tetapi batu loncatan dalam berkecimpung dalam bisnes korporat serta membina jenama kumpulan kami," katanya.

Rapid Rail, operator perkhidmatan rel Rapid KL mengumumkan penganjuran Fiesta RapidRail di Stesen LRT Ara Damansara dengan kerjasama portal membeli-belah atas talian, Roopawan.

Barisan artis yang terlibat bergambar  dengan Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Datuk Ir Zohari Sulaiman (enam dari kiri) ketika majlis pelancaran fiesta itu baru-baru ini.

Dianjurkan pada setiap hari Sabtu dan Ahad sepanjang April, Fiesta berkenaan melibatkan penyertaan lebih 60 vendor, trak makanan serta gerai selebriti tempatan dengan dimeriahkan oleh pelbagai persembahan hiburan.

Dalam pada itu, Shahrul berkata, fiesta yang bermula 10 pagi sehingga 10 malam itu turut memperlihatkan penglibatan barisan artis seperti Alvin Chong, Anis Al Idrus, Bunkface, Wak Doyok dan Bob Ringgo yang membuka gerai masing-masing.

"Usaha yang dibuat oleh Rapid Rail ini memang cukup baik kerana pengguna LRT memang ramai dan kami sebagai selebriti menyokong usaha ini.

"Dengan adanya fiesta seperti ini ia dapat menggalakkan lebih ramai orang awam menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam khususnya LRT dan monorel Rapid KL," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Datuk Ir Zohari Sulaiman berharap acara yang dianjurkan buat julung kali itu akan membuahkan hasil yang memberangsangkan.

“Ini adalah satu inisiatif Rapid Rail untuk mempromosi dan menceriakan stesen-stesen LRT supaya ia menjadi tempat tarikan dan hentian setempat untuk orang ramai berinteraksi dan juga melaksanakan aktiviti komersial.

"Inisiatif ini juga diharapkan akan meningkatkan bilangan penumpang sekaligus menjana pendapatan positif kepada Rapid Rail," katanya.

6ixth Sense, Sakura Band, LRT

Artikel Lain