suria

Miera Leyana Kini Bergelar Pengarah

Miera Leyana bakal tampil dengan karya sulungnya sebagai pengarah. Foto ART CHEN

PETALING JAYA: Pelakon Miera Leyana tidak menyangka diberi peluang oleh penerbit dan pengarah terkenal, Mohd Noor Kadir untuk mengarah drama pertamanya yang berjudul Lai Lai Li Tam Plong.

Wanita yang baharu berusia 24 tahun ini berkata, dia pada awalnya berasa ragu-ragu untuk menerima tawaran itu kerana tidak pernah mengarah namun menyahut cabaran diberikan kepadanya.

"Siapa yang tidak terkejut apatah lagi tawaran itu dibuat oleh seorang pengarah dan penerbit disegani iaitu abang Mohd Noor Kadir dan jujurnya memang saya tak percaya.

"Saya tidak pernah mengarah atau mempunyai pengalaman tetapi beliau percaya dan ingin melihat saya membuktikan diri dan sebab itu saya sahut cabaran itu," katanya kepada mStar Online.

Miera tidak menyangka diberi peluang untuk mengarah.

Bercakap lanjut mengenai drama itu, Miera berkata, dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran sebahagian drama itu di Paris dan London baru-baru ini.

Kata Miera, dia bukan sahaja mengarah drama itu bersama anak kepada Mohd Noor Kadir iaitu Aliff tetapi juga berlakon dalam naskhah pertamanya itu.

"Kebetulan saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri Hola Hermosa dibawah produksi Mohd Noor Kadir jadi kita ambil peluang untuk rakamkan beberapa babak di luar negara.

"Ia pengalaman yang menarik kerana selain perlu mengarah saya juga berlakon dalam Lai Lai Li Tam Plong namun Alhamdulillah semuanya selesai dengan baik.

"Penggambaran masih berjalan dan bakinya kita akan buat di Kuala Lumpur sahaja," katanya.

Sementara itu, Miera berkata, Mohd Noor Kadir banyak memberinya tunjuk ajar dalam memastikan projek sulungnya itu berjalan dengan baik.

"Siapa yang pernah bekerja dengannya mereka akan tahu beliau seorang yang cukup teliti dan sangat mementingkan ketepatan skrip dan dialog.

"Alhamdulillah beliau banyak beri tunjuk ajar kepada saya dan berharap ini bukan karya pertama dan terakhir arahan saya," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Miera bakal muncul dengan filem arahan Mamat Khalid iaitu Lebuhraya Ke Neraka yang akan menemui penonton pada 4 Mei ini.

Ia turut menampilkan barisan pelakon seperti Datuk Awie, Shahrizal Jaszle, Dazrin Kamaruddin, Khir Rahman dan Pekin Ibrahim.

Artikel Lain