suria

Karier Shahrizal Jaszle Terganggu Kerana Berat Badan

Shahrizal Jaszle berazam untuk mendapatkan kembali berat badan ideal selepas mengalami peningkatan berat badan mendadak sejak berkahwin. Foto ART CHEN

PETALING JAYA: Pelakon Shahrizal Jaszle sedang berusaha keras untuk mengurangkan berat badannya yang mendadak naik sejak berkahwin dua tahun lalu.

Shahrizal berkata, berat badannya yang berlebihan mula memberi kesan kepada kariernya sebagai pelakon malah sering ditegur oleh pihak produksi untuk menguruskan badan.

"Sejak berkahwin berat badan saya pernah mencecah 82 kilogram daripada 65 kilogram dan tawaran berlakon mula berkurangan kerana tiada watak sesuai untuk saya.

"Jika ada pun kebanyakan yang saya terima peranan sampingan atau pembantu dan produksi pun ada tegur tentang berat badan saya.

"Memang sekarang saya sedang berusaha untuk mendapatkan kembali berat badan asal menerusi senaman dan diet," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Shahrizal berkata, sepanjang enam bulan lalu dia langsung tidak mengambil nasi atau makanan berkarbohidrat tinggi dalam dietnya untuk kembali kurus.

Katanya lagi, cara itu mula menampakkan hasil apabila berat badannya kini mula menyusut kepada 78 kilogram dan menyasarkan lima kilogram dikurangkan dalam masa terdekat.

Shahrizal tak percaya kepada produk menguruskan badan.

"Saya akui hendak mengamalkan diet memang susah kerana saya seorang yang suka makan tetapi saya perlu menjaga pemakanan demi karier saya.

"Alhamdulillah walaupun penurunan tidak banyak tetapi ia mula menunjukkan hasil dan paling penting saya gunakan cara yang betul iaitu senaman dan jaga pemakanan," katanya.

Tambahnya lagi, dia tidak akan sesekali menggunakan produk pelangsingan badan semata-mata untuk menguruskan badan.

"Saya tak percaya dengan produk-produk kurus ni walaupun kesannya dilihat cepat kerana kita tidak tahu apa kesan sampingannya pada masa hadapan.

"Sebab itu saya lebih rela berdiet dan bersenam meskipun ia susah dan mengambil masa," jelasnya.

Sementara itu, Shahrizal bersyukur apabila filem lakonannya berjudul Lebuhraya Ke Neraka bakal menemui penonton di pawagam bermula 4 Mei ini selepas enam tahun terperap.

Naskhah arahan Mamat Khalid itu disifatkan sebagai berbeza menampilkan genre kerohanian tentang perjalanan roh manusia.

"Jujurnya saya ingatkan filem ini tidak akan dikeluarkan kerana sudah enam tahun ia terperap namun Alhamdulillah ia bakal ditayangkan kepada penonton.

"Watak saya agak berat kerana ia tidak banyak dialog tetapi memerlukan saya bermain dan menzahirkan emosi.

"Jalan ceritanya yang tentang perjalanan roh manusia memang sangat berbeza daripada naskhah Mamat sebelum ini," katanya.

Selain Shahrizal, filem ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Datuk Awie, Miera Leyana, Dazrin Kamaruddin, Khir Rahman dan Pekin Ibrahim.

Artikel Berikut

Artikel Lain