suria

Seniman Akan Ambil Tindakan Terhadap Ammar Titan

Zed Zaidi menyelar tindakan Ammar Titan yang mempersendakan nama bapa bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek.

PETALING JAYA: Tindakan pengacara Ammar Titan yang mempersendakan nama bapa Watson iaitu Nyambek turut diselar oleh Persatuan Seniman Malaysia yang berhasrat mengambil tindakan terhadap artis itu.

Presidennya, Zed Zaidi berkata, pihak Seniman akan menyiasat perkara berkenaan dan tindakan disiplin akan diambil sekirannya Ammar merupakan ahli persatuan itu.

"Saya telah mengarahkan pengerusi biro dari persatuan Seniman Malaysia supaya menyiasat pekara ini.

"Sekirannya anda (Ammar) ahli Seniman hukuman dan tindakan disiplin akan menyusuli, segalanya akan bergantung kepada siasatan nanti," ujarnya.

BERKAITAN: Persendakan Nama Watson Nyambek, Pengacara Mohon Maaf

Zed berkata demikian bagi mengulas isu pengacara program komedi Sukan Tak Sentral terbitan Primeworks Studios yang mempersendakan nama mendiang bapa atlet negara Watson Nyambek dengan menyamakan dengan bunyi seekor binatang iaitu kambing.

Watson Nyambek (tengah) bersama penyokong-penyokongnya di luar Balai Polis Pusat Miri.

Perkara itu turut mendapat reaksi Watson yang melahirkan rasa kecewa dan tersinggung dengan penghinaan itu apatah lagi bapanya telah meninggal dunia tiga tahun lalu.

Walaupun Primeworks Studios menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya iaitu Datuk Ahamd Izham Omar dan Ammar sendiri sudah memohon maaf, Watson dikatakan akan meneruskan hajat mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkenaan.

Dalam pada itu tambah Zed, perbuatan Ammar itu sebagai tidak profesional dan merupakan satu penghinaan kepada seorang yang banyak berjasa kepada negara.

"Saya percaya pengacara tersebut juga akan terasa apabila nama bapanya dipermainkan atau dihina apatah lagi bila orang tuanya itu sudah tiada, apakah perasaan anda ketika itu?

"Anda juga memperlekehkan nama bapa perlumba negara dengan bunyikan suara haiwan dan dari sudut persepsi masyarakat anda menyamakan bapa pelumba tersebut sebagai seekor haiwan.

Ammar turut memohon maaf atas ketelanjurannya itu.

"Adakah itu cara stesen TV mengajar anda untuk berbuat demikian apabila di kaca TV atau di radio? adakah ini di panggil professional menggunakan lawak bagi sebuah penghinaan dan tidak memikirkan sensitiviti rakyat Malaysia?" ujarnya.

Selain itu, Zed berkata, permohonan maaf yang dilakukan oleh stesen televisyen dan pengacara itu sendiri tidak cukup untuk membetulkan imej Watson.

"Segala permohonan maaf yang dilakukan oleh pihak stesen TV dan dari anda sendiri tidak cukup untuk membetulkan kembali imej dan kredibiliti pelumba negara tersebut.

"Anda pasti tahu... membina nama yang baik mengambil masa selama 20 tahun dan merosakkannya, hanya mengambil satu minit dan ia benar-benar memalukan," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain