KUALA LUMPUR: Penyanyi dangdut Ani Maiyuni memberitahu dia tidak pernah terfikir melakukan sebarang pembedahan untuk kelihatan bertambah cantik seperti dilakukan segelintir selebriti. Ani, 38, berkata, dia masih hormat hukum-hakam dalam agama Islam yang melarang umatnya mengubah wajah semata-mata untuk menjadi lebih cantik. "Saya tidak terfikir lagi untuk buat apa-apa suntikan ataupun pembedahan wajah untuk kelihatan lebih cantik. Saya bersyukur apa yang saya ada sekarang dan rasanya sudah cukup cantik. "Walaupun saya ni jahil tapi saya takut juga mati. Saya takut apa nak jawab nanti, saya masih ingat asas agama kita dan ingat Tuhan," katanya kepada mStar Online. Penyanyi Ani atau nama sebenarnya Aishah An Nur Osman ditemui pada majlis previu Ramadan Citarasa Pantai Timur di Hotel Royal, di sini, Rabu. Ani Maiyuni Dalam pada itu, Ani berkata, dia lebih suka mengamalkan makanan kesihatan dan jamu bagi mengekalkan kecantikan. "Saya hanya ambil makanan tambahan dan mengamalkan jamu untuk mengekalkan kesihatan. Saya juga buat jamu sendiri di rumah jika ada masa terluang," ujarnya. Sementara itu, ditanya tentang persembahannya pada sepanjang Ramadan di hotel tersebut, Ani berkata, dia akan menyanyikan lagu-lagu bersesuaian dengan bulan suci itu. Seperti tahun-tahun lalu, dia akan bergandingan dengan selebriti Kelly Azman yang akan menjadi hos dalam menghiburkan tetamu selepas berbuka puasa di hotel berkenaan. "Ia merupakan tahun keempat kami menghiburkan tetamu di sini, pastinya kami akan hiburkan dengan lagu-lagu berkaitan Pantai Timur," ujarnya.