KUALA LUMPUR: Impian Datuk Siti Nurhaliza untuk menjadi adiwira yang dipendamkan sejak kecil menjadi kenyataan apabila ia dizahirkan menerusi projek terbaharu beliau. Siti Nurhaliza, 38, berkata, impian tersebut diilaksanakan melalui video muzik single terbaharunya dalam album Simetri Siti yang bakal dilancarkan pada 5 Mei nanti. "Sebenarnya sejak kecil lagi saya pasang impian untuk menjadi seorang adiwira atau superwoman, namun perkara tersebut mustahil untuk direalisasikan. "Justeru saya zahirkan melalui video muzik dalam single terbaharu berjudul Segala Perasaan. "Dalam video muzik tersebut saya perlu beraksi seperti seorang adiwira, malah jalan cerita dan prop yang digunakan menggambarkan saya mempunyai kuasa luar biasa. "Setelah berbincang dengan team pengurusan, impian saya ini akhirnya berjaya dilaksanakan, malah saya mendapat tunjuk ajar daripada MMA Fighter iaitu Ann Osman yang mengajar teknik pertempuran," ujarnya kepada mStar Online. Siti Nurhaliza (kanan), artis Bella Daly (kiri) dan wakil Ariani Luxe. Siti ditemui pada majlis pelancaran butik Ariani Luxe, di Jakel Mall, di sini, pada Rabu. Dalam perkembangan lain, Siti meluahkan rasa bangga kerana pada tahun ini ramai penyanyi lain turut melancarkan album seperti Datuk Sheila Majid dan Dayang Nurfaizah. "Kemunculan itu membuktikan industri kita masih hidup dan ia juga sebagai tanda penyanyi-penyanyi senior masih hebat dan berkualiti. "Lebih membanggakan, syarikat rakaman juga menyokong dan mereka turut sama memikirkan bagaimana mahu menghasilkan produk terbaik untuk artis masing-masing,” ujarnya. Dalam pada itu, Siti berkata, dia turut terkilan dengan senario baharu rompakan dan cetakan muzik secara haram melalui internet. "Jika masyarakat menghargai kerja keras anak seni dan tahu kesusahan kami menghasilkan sesuatu produk, pasti perkara ini tidak akan berlaku. "Sebenarnya nak mendidik masyarakat tentang jenayah cetak rompak ini agak sukar, apa yang penting mereka sendiri perlu menghargai hasil kerja orang lain. "Ia secara tak langsung memberi sokongan kepada penyanyi kita," katanya.