PETALING JAYA: Penyanyi Indonesia Judika memberitahu dia baharu sahaja selesai menjalani pengambaran muzik video single terbaharunya berjudul Lebih Dari Cinta. Judika, 39, berkata, muzik video lagu berkenaan istimewa kerana ia dilakonkan oleh ahli keluarganya sendiri ketika bercuti di Jepun baru-baru ini. "Ia dilakonkan sendiri oleh saya, isteri, anak-anak dan ibu bapa saya serta keluarga mertua. "Muzik video ini dirakam ketika kami bercuti di Jepun baru-baru ini," ujarnya. Judika bakal mengadakan persembahan di Konsert Nova 2017 pada 5 Ogos depan di Stadium Malawati. Judika atau nama sebenarnya Judika Nalon Abadi Sihotang ditemui pada majlis sidang media Konsert Nova 2017, baru-baru ini. Tambahnya, muzik video Lebih Dari Cinta itu merupakan tafsiran tersendiri buat kehidupannya sekeluarga. Ia juga banyak memberi pengajaran kepada penonton tentang kehidupan dalam rumah tangga. "Dulu lagu saya Mama Papa Larang mengisahkan tentang percintaan saya dan isteri yang menerima tentangan keluarga. "Sekarang sudah tidak ada tentangan dan kami lebih bahagia dan saya tonjolkan dalam muzik video Lebih Dari Cinta. Dalam muzik video itu juga saya membantu isteri menjaga anak jika dia keluar bekerja," ujarnya. Penyanyi lagu Setengah Mati Merindu ini berkahwin dengan Duma Riris pada 31 Ogos 2013 yang kini dikurniakan dua cahya mata iaitu Cleo Deomora Sihotang, 2 dan Judeo Volante Sihotang, 1. Dalam pada itu, ditanya tentang peracangannya untuk menambah bilangan cahaya mata, dia berkata masih belum bersedia. "Isteri saya mahu anak lagi tapi saya belum bersedia. Saya berasa dua orang anak saya masih kecil lagi. "Bagi tempoh mereka membesar dahulu jika mahu tambah lagi seorang," ujarnya. Sementara itu, Judika berkata, dia baharu melancarkan album keenamnya Khamis lalu di Indonesia. Album berkenaan memuatkan sepuluh buah lagu termasuk lima lagu ciptaan peminat-peminatnya. Katanya, dia menerima lebih 400 buah lagu menerusi laman sosial selepas membuat pengumuman tentang pencarian lagu baharu. "Saya pilih lima lagu terbaik ciptaan peminat yang menghantar karya mereka di laman sosial. Saya terima kira-kira 400 buat lagu dan saya dengar semua sekali. "Lima yang saya pilih adalah yang terbaik, namun masih ada lagi yang boleh diketengahkan untuk masa akan datang," ujarnya. Sementara itu, Judika juga bakal mengadakan persembahan di Konsert Nova 2017 yang akan berlangsung pada 5 Ogos depan di Stadium Malawati.