suria

"Jangan Jadikan Saya Ikon Poligami" - Ashraf Muslim

Ashraf Muslim memberitahu dia tidak layak digelar sebagai ikon poligami.

HIDUP berpoligami bukan suatu perkara mudah kerana seseorang suami itu bukan sekadar perlu berlaku adil terhadap pasangan namun harus bijaksana dan disiplin dalam mengemudi rumah tangga.

Bagi pelakon Ashraf Muslim, jauh sekali bermegah atau mahu diangkat sebagai ikon poligami apabila dia dilihat berjaya melayari perkahwinan berpoligami dengan baik, sebaliknya kata Ashraf masih banyak perlu dipelajarinya.

Tegas pemilik nama sebenar Muhad Ashraf Muslim, 35, ini, Nabi Muhammad sentiasa dijadikan rujukan dalam kehidupan seharian agar rumah tangganya kekal bahagia.

"Kalau ada yang hendak beri gelaran itu saya memang langsung tidak layak kerana saya sendiri masih lagi banyak belajar namun Alhamdulillah rumah tangga saya bersama dua isteri bahagia.

"Contoh ikutan saya hanya seorang iaitu Nabi Muhammad  dan sunahnya dalam mengemudi dua bahtera ini kerana Baginda ikon paling baik," katanya kepada mStar Online.

Ashraf bersama dua isterinya, Sakinah (kiri) dan Dayana (kanan).

Ashraf berkahwin dengan isteri pertama, Noor Dayana Lokman pada 30 Ogos 2011 di Makkah dan kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi pada 7 Julai 2013 di Selatan Thailand.

Pelakon itu mempunyai tiga cahaya mata bersama kedua-dua isterinya iaitu Sarah Ashraf, 3 tahun, Anas Ashraf (setahun lapan bulan) dan Adam Ashraf (setahun enam bulan).

Sementara itu, Ashraf berkata, sebagai suami dia perlu mendisiplinkan diri dan bijaksana terutamanya dalam membahagikan masa dalam semua aspek agar kehidupannya seimbang dan dapat berlaku adil.

"Apabila saya kata suami perlu bijaksana bukannya bererti perlu pandai menipu tetapi bijak membahagikan masa antara kerja, keluarga dan rakan-rakan.

"Sabar itu juga penting kerana kalau tiada kualiti itu mungkin akan timbul masalah dan ini saya terapkan dalam rumah tangga saya.

"Bukan saya tidak pernah mengalami masalah tetapi sebagai manusia kita belajar dan perbaiki kesilapan selain berbalik kepada agama, Insya-Allah semuanya akan menjadi baik," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ashraf muncul sebagai lima peserta akhir menerusi kategori Pelakon TV Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 3.0 (ABPBH3.0) yang bakal berlangsung pada 14 Mei ini.

Ashraf bersaing dengan empat lagi calon iaitu Aiman Ridza Hakim, Shukri Yahya, Fattah Amin dan Syafiq Kyle.

Ashraf Muslim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain