suria

Harris Baba Berang Netizen Kritik Isteri

Harris mendirikan rumah tangga bersama wanita dari Keningau, Sabah, Nik Naziha Zawawi pada Mei tahun lalu. -foto Instagram @harrisbaba

SIKAP segelintir pengguna media sosial yang suka menjadikan kisah peribadinya sebagai bahan jenaka mengundang rasa kurang senang penyanyi dan pelakon Harris Baba.

Akui pelakon kelahiran Singapura itu, dia mudah 'naik angin' jika ada pihak meninggalkan komen negatif terhadap keluarga terutama isterinya di media sosial.

"Sebab itulah agak lama juga saya tak berkongsi gambar keluarga di media sosial. Sebelum ini saya banyak baca cerita isteri artis kena kritik, ia sangat menyedihkan.

"Saya mahu lindungi isteri daripada menerima nasib yang sama. Saya tak boleh tahan kalau orang bagi komen negatif," katanya kepada mStar Online.

Harris atau nama penuhnya Khawaja Mohammad Harris Baba, 27, mengulas mengenai pendiriannya berhubung penggunaan media sosial sebagai medium untuk berkongsi perkembangan kerjaya dan kisah peribadi sebagai selebriti.

Harris bersama isteri dan anak sulung mereka, Aleena Ziya. -foto Instagram @harrisbaba

Penyanyi berdarah kacukan Pakistan, Iran dan Cina itu sebelum ini dilihat agak kurang selesa berkongsi isu peribadi secara terbuka.

Harris mendirikan rumah tangga bersama seorang wanita dari Keningau, Sabah, Nik Naziha Zawawi, 22, pada Mei tahun lalu.

Pasangan ini baharu sahaja menimang cahaya mata bernama Aleena Ziya pada 10 Februari lalu.

Jelas Harris, dia tidak teragak-agak untuk memberi komen balas jika kritikan yang dilemparkan bersifat penghinaan.

"Memang ada ramai yang beri komen negatif dan sebagai selebriti ia perkara biasa, tapi saya tak suka.

"Kadang-kadang saya akan balas komen dan tegur supaya mereka berhati-hati ketika meninggalkan komen.

"Tak kisahlah saya artis atau sesiapa pun, yang penting saya perlu pertahankan hak saya. Kalau tak betul, saya akan tegur...tapi dengan cara baik dan sarkastik," katanya.

Bagaimanapun menurut penyanyi yang baharu sahaja melancarkan single kedua berjudul Parah itu, dia kini lebih terbuka untuk berkongsi gambar keluarga terutamanya selepas bergelar bapa.

"Sekarang agak selesa berkongsi gambar isteri dan anak di media sosial.

"Tapi apa pun yang dilakukan mestilah ada batasnya," kata Harris.

Harris Baba

Artikel Berikut

Artikel Lain