suria

Nidji Cerewet Hasilkan OST

Nidji akan memperlahan kerjaya seni mereka bagi memberi perhatian kepada komitmen masing-masing. -foto RICKY LAI / The Star

SENTUHAN luar biasa band popular Indonesia, Nidji dalam menghasilkan lagu runut bunyi (OST) membuatkan mereka sentiasa menjadi rebutan penerbit filem.

Bagaimanapun akui vokalisnya, Giring Ganesha, mereka perlu berhati-hati sebelum bersetuju untuk bekerjasama dengan mana-mana penerbit bagi memastikan karya yang dihasilkan menepati berkualiti.

"Memang susah nak hasilkan lagu OST. Namun sebelum bersetuju, kami akan kaji dahulu sesebuah filem.

"Perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah supaya muzik dan filem dapat bersatu," katanya kepada mStar Online.

Nidji turut dianggotai Andi Ariel Harsya, Ramadhista Akbar, Randy Danistha, Andro Regantoro dan Adri Prakarsa.

Nidji memilih Malaysia sebagai lokasi pertama untuk melancarkan albul terbaharu mereka.

Mereka berada di negara ini bagi melancarkan album kelima berjudul Love, Fake & Friendship.

Kumpulan itu banyak menghasilkan lagu runut bunyi untuk filem seperti Laskar Pelangi (OST Laskar Pelangi), Tuhan Maha Cinta (OST Sang Pencerah), Bila Bersamamu (OST The Guys) serta Hidup Tanpa Cintamu (OST Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck).

Selain itu tambah Giring, mereka juga sangat cerewet dalam menghasilkan lagu runut bunyi.

"Semestinya kami memilih dan kami juga pernah menolak untuk hasilkan OST. Kami sendiri akan lakukan saringan melalui bacaan skrip dan sinopsis.

"Jika filem itu berdasarkan novel, kami akan baca dahulu. Kalau kami suka, kerjasama akan diteruskan.

"Kalau tawaran itu agak tergesa-gesa, kami perlu pertimbangkan kesan jangka panjang," katanya sambil mengakui turut mengambil kira latar belakang penerbit dan pengarah filem yang terlibat.

Sementara itu ditanya mengenai desas-desus yang mengatakan dia berhasrat untuk meninggalkan Nidji bagi melibatkan diri dalam bidang politik, Giring segera menafikannya.

"Tidak, ini (Nidji) adalah rumah kami. Namun saya ada impian yang ingin dicapai. Salah satunya ialah mahu habiskan pengajian dalam bidang politik.

"Mereka juga menyokong impian saya. Bagi mereka, impian saya juga merupakan impian mereka.

"Maksudnya kerjaya kami bersama Nidji mungkin akan lebih perlahan selepas ini. Kami perlu lebih selektif kerana masing-masing punya komitmen lain," katanya.

Nidji, Giring Ganesha

Artikel Lain