suria

Nassier Wahab Peram Tiga 'Single' Baharu Kerana Kecewa

Nassier akui tiga single yang telah dirakam itu adalah karya yang bagus. Foto M. AZHAR ARIF

KERANA kecewa dan rasa putus harap, penyanyi era 1980-an Nassier Wahab memberitahu dia terpaksa memeram tiga single terbaru yang telah dirakamkan tahun lalu di Indonesia. 

Nassier, 55, berkata, pada usianya sekarang dia harus sedar bukan waktunya untuk dia perlu membuat kerja-kerja promosi ke radio dan akhbar sepertimana pernah dilakukan pada awal pembabitan seninya suatu ketika dahulu.

"Entahlah, banyak perkara bermain di fikiran saya kerana pada usia sekarang, saya seharusnya perlu menuai hasil bukannya masih membajak dan membaja. Rasa diri dah cukup tua untuk buat semua itu.

"Lagi pula, saya tiada tenaga kerja yang boleh membantu menguruskan urusan promosi membuatkan saya sendiri ambil keputusan untuk simpan sahaja tiga single tersebut sebagai kenangan peribadi," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, kata pemilik nama Mohd Nasir Abdul Wahab ini lagi, pengalaman menggajikan dua pegawai promosi selama dua tahun dengan gaji yang agak tinggi sebelum ini membuatkan dia sering berfikir soal risiko.

Kemerduan lontaran vokal Nassier Wahab masih sama seperti dahulu.

"Saya masih ingat dalam usaha nak menaikkan kembali nama menerusi lagu Memori Cinta Luka, saya banyak berhabis duit hampir puluhan ribu dan ketika itu saya masih berani mengambil risiko.

"Mujur pertaruhan itu berjaya di mana lagu tersebut mula menjadi siulan dan saya kira ia berbaloi tetapi tidak pada kali ini, saya tidak berani ambil risiko melabur pada tiga single tersebut kerana suasana industri sekarang angat berbeza dari dulu, " luahnya.

Tiga single yang dirakam di Jakarta itu berjudul Nada-Nada Cinta, Kau Dalam Hidupku dan Cinta Suci membabitkan komposer Indonesia, Richard Kyoto.

"Richard sendiri yang minta saya rakam lagu tersebut dan secara peribadi, saya sifatkan ia lagu-lagu yang bagus. Namun apakan daya, saya tiada kemampuan untuk popularkannya," kata Nassier.

Pun begitu jelas Nassier yang sudah 32 tahun bergelar anak seni, dia sentiasa berlapang dada seandainya ada pihak ingin membantu namun tidak pula menaruh harapan yang tinggi untuk mendapat mana-mana tajaan.

Sementara itu Nassier yang baru sahaja dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang Isnin lalu mengakui peminat-peminatnya tetap mahukan dia menyanyikan lagu-lagu lama dari 12 album yang pernah dirakamkan sebelum ini.

Nassier Wahab

Artikel Berikut

Artikel Lain