PETALING JAYA: Penyanyi rap yang popular dengan loghat Negeri Sembilan, Waris mengakui kehidupannya terjejas apabila dua bulan berpisah dengan anak iaitu Muddassir Muzzammil yang kini berusia lapan bulan. Waris, 28, berkata, dia terpaksa berjauhan dalam tempoh berkenaan berikutan menjalani penggambaran sebuah program travelog di sepuluh buah negara Asia pada Februari lalu. "Memang rasa macam tak betul bila dua bulan saya tidak jumpa anak, saya bimbang dia tidak kenal saya pula kerana sebelum ini memang saya yang jaga dia setiap hari kerana isteri bekerja. "Semua yang saya lakukan serba tidak kena kerana asyik memikirkan anak. Ia pertama kali kami berjauhan sejak dia lahir," ujarnya kepada mStar Online. Waris atau nama sebenarnya Muzammil Alias ditemui pada majlis pelancaran album keduanya berjudul Waris Alumni, di sini, pada Khamis. Sementara itu, Waris berkata, isterinya sudah mengambil keputusan berhenti kerja bagi menumpukan perhatian sepenuhnya kepada keluarga. "Kasih sayang ibu-bapa sangat penting untuk pembesaran anak, saya dulu dibesarkan dalam keluarga yang berpisah jadi saya tahu ia sukar. "Jadi saya mahu anak saya dapat kasih sayang yang seimbang daripada ibu dan ayah," ujarnya. Dalam pada itu, bercakap mengenai album keduanya, Waris berkata, Waris Alumni akan dijual secara digital sahaja. Tambahnya, sebayak 10 buah lagu iaitu lima buah lagu baharu dan lima buah lagu popularnya termasuk nyanyian bersama Nora Danish berjudul Ini Lagi Boom. "Album kali ini lebih matang dan alumni adalah membawa maksud kita semua dalam industri. Semua lagu ini sudah siap dirakam sejak dua tahun lalu. "Kami rasakan sekarang adalah masa yang sesuai untuk dikeluarkan," ujarnya. Antara lagu yang dimuatkan dalam album berkenaan adalah Alumni, Tepuk, Cara Lama, Dunia, Ada Saja, Labu Labi, Lagenda, Peduli Ajab, Dalam Perjalanan dan Cinta Terakhir.