PRESIDEN Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave sedang menjejaki penyanyi era 90-an, To'ki selepas kisah kesusahannya menjadi viral di laman Facebook sejak dua hari lalu. DJ Dave berkata pihaknya sedang berusaha untuk berhubung dengan To'ki atau Mohd Zaki Mansur bagi membolehkan mereka mengetahui masalah sebenar penyanyi itu dan sekaligus menghulurkan bantuan. "Ya, baru pagi tadi saya menyuruh pihak saya menjejaki To'ki dan pihak Yayasan Artis 1 Malaysia bersedia membantu beliau secepat mungkin," ujarnya. DJ Dave ditemui pada Konsert Kasih & Harapan Ben Nathan yang diadakan di Saloma Bistro, pada Ahad. Kisah kesusahan To'ki menjadi tular di Facebook apabila seorang peminat bertemu penyanyi lagu 'Hampa' itu dalam keadaan daif di sebuah stesen minyak yang tidak dinyatakan lokasinya. Peminat yang menggelarkan dirinya Engku Lokman bergambar bersama To'ki. Lelaki itu turut memberitahu dia terkesan melihat keadaan To'Ki tambahan pula Ramadan semakin hampir dan Syawal yang bakal menjelang. Malah dia berharap ada pihak termasuk persatuan hiburan tampil membantunya seperti mana dilakukan terhadap penyanyi era 80-an, Ben Nathan. Kisah To'ki yang viral di Facebook mendapat perhatian peminat dan sehingga kini entri tersebut telah dikongsi sebanyak 4,400 kali. To'ki sebelum ini turut pernah berduet bersama penyanyi Rohana Jalil menerusi lagu Naluri Cinta di mana lagu tersebut pernah dicalonkan di dalam kategori balada Anugerah Juara Lagu kesembilan.