suria

Tajul Ariff Rindu Kenangan Bersama Kumpulan Nasyid

Pertaruhan terbaru Tajul bersama Wany Hasrita menerusi single duet 'Di Sana Cinta Di Sini Rindu' semakin mendapat perhatian.

PENYANYI lagu Sedalam-Dalam Rindu iaitu Tajul Ariff berkata, populariti yang diraihnya tidak pernah membuatkan dia lupa asal usul. 

Kalau ada yang perasan, sebelum dikenali ketika ini, Tajul pernah menyertai sebuah kumpulan nasyid bernama 'Akhdan' yang ditubuhkan sekitar 2010.

"Banyak kenangan manis ketika bersama-sama Akhdan dan selama tempoh bersama, kami berjaya menerbitkan sebuah album berjudul 'Akhdan: Sejadah Keinsafan' dengan enam buah lagu dan lima alunan zikir.

"Malah saban minggu ada sahaja show perlu kami jayakan di sekitar Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

"Jujur, populariti yang diraih pada hari ini tidak sedikitpun pernah melunturkan kerinduan saya pada nyanyian nasyid dan kalau boleh, ingin saya ulang kenangan dulu," katanya kepada mStar Online.

Gambar kenangan Tajul (dua dari kanan) ketika menganggotai kumpulan nasyid Akhdan.

Tambah Tajul atau Tajul Arif Noor Md. Shari, biarpun dia berusia 12 tahun ketika itu dari situlah dia mula mencabar keberanian menyanyi di khalayak dengan kerap menyertai pertandingan nasyid dan solo.

"Adatlah bila bertanding ada menang, ada kalah. Sebenarnya arwah abang banyak memberi banyak inspirasi untuk saya meneruskan keberanian dalam bidang nyanyian ketika itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, saat ditanya mengenai perjuangan kumpulan Spin selepas vokalisnya iaitu Achik maut dalam tragedi kemalangan pada 2010, Tajul berkata, sehingga hari ini ia diteruskan oleh kedua-dua abangnya iaitu Khalis dan Awis.

"Apa yang boleh saya katakan, ada dua kumpulan Spin sekarang iaitu 'Real Spin' dan 'Spin baru' di mana kedua-duanya kini bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana label.

"Real Spin lebih memberi fokus pada lagu-lagu Spin yang lama di mana abang saya Khalis selaku vokalisnya manakala seorang lagi abang iaitu Awis bersama Spin yang baru.

"Soal takut wujud kekeliruan peminat, itu saya tak dapat nak komen. Mungkin boleh ditanya pada mereka sendiri nanti," ujarnya.

Selepas kejayaan single pertamanya Sedalam-Dalam Rindu, Tajul terus mengekalkan popularitinya menerusi dengan single duetnya bersama penyanyi Wany Hasrita berjudul, 'Di Sana Cinta Di Sini Rindu'.

Tajul Ariff

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia