AGAK lama sebenarnya kelibat pelakon Zain Saidin tidak kelihatan menghiasi televisyen menerusi drama bersiri atau pun telefilem. Watak sebagai Henry Middleton dalam siri Oh My English! barangkali paling diingati namun pelakon berusia 33 tahun ini mengambil keputusan meninggalkan program popular itu hampir dua tahun lalu. Zain memberitahu kehilangannya daripada radar bidang lakonan sejak tahun lalu bukan kerana merajuk sebaliknya dia memilih untuk memberi fokus kepada jenama kasut keluarannya iaitu Zapatos by Zain Saidin yang semakin dikenali ramai. Zain masih menyimpan minat untuk berlakon. Tambahan pula kata Zain bayaran diberikan kepadanya sebagai pelakon juga tidak setimpal dan menyebabkan dia beralih kepada bisnes. "Jujurnya berlakon hanya boleh kaya sementara tetapi dengan perniagaan pulangannya berlipat kali ganda cuma kita perlu berusaha keras. "Saya bukannya merajuk atau bersikap 'demand' namun itulah realiti industri hiburan dan saya perlu lakukan perkara lain dan tidak hanya fokus kepada lakonan sahaja. "Kadang-kadang saya dipanggil memberikan ceramah selama dua jam bayarannya sama dengan hasil lakonan selama seminggu. Jadi anda nilaikan sendiri," katanya kepada mStar Online. Bagaimanapun kata suami kepada Rozita Che Wan ini, itu tidak bererti dia terus melupakan lakonan sebaliknya terbuka menerima sebarang tawaran sekiranya ia berbaloi. "Sebelum ini pun ada juga saya buat projek kecil selain beberapa program yang turut melibatkan keluarga dan anak-anak saya. "Tidaklah terus tinggalkan lakonan cuma saya tahu harga saya dalam pasaran lakonan dan hendak tunggu ia naik, mungkin tidak akan berlaku. "Kalau ada yang memberi tawaran setimpal, apa salahnya?," ujarnya.