SHAH ALAM: Golongan selebriti mampu memainkan peranan besar dalam mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat menerusi aktiviti kebajikan bagi membantu golongan tidak bernasib baik. Penasihat Al-Munawwarah, Profesor Dr. Syed Omar Syed Agil berkata, pengaruh seorang selebriti itu jika digunakan sebaiknya ia akan memberi manfaat yang cukup besar kepada masyarakat. "Mungkin ramai tidak menyedari sebenarnya sumbangan artis dalam kerja-kerja kebajikan amat besar dalam menyampaikan maklumat di media sosial serta penglibatan mereka dalam acara amal. "Penglibatan mereka ini juga sebenarnya dapat menarik lebih banyak golongan selebriti untuk turut serta membantu golongan memerlukan," katanya. Syed Omar ditemui pada majlis berbuka puasa Tautan Kasih anjuran Al-Munawwarah dan Persatuan Wartawan Dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) yang diadakan di Pusat Konvesnyen Shah Alam (SACC) di sini, Sabtu. Meriah...Antara tetamu dan selebriti yang hadir memeriahkan acara. Antara selebriti yang turut memeriahkan acara itu adalah Rita Rudaini, Izreen Azminda, Dafi, Syamel, Sufi Rashid, Azri AF, Salma Mentor, Adira, Sahara Yaacob dan ramai lagi. Dalam pada itu, Syed Omar berkata, gabungan Al-Munawwarah bersama WHAM dalam menjayakan malam Tautan Kasih dianggap berjaya dan berharap kerjasama itu akan diteruskan pada masa akan datang. "Gabungan ini mantap dan diharap pada masa akan datang lebih ramai artis dapat melibatkan diri kerna mereka banyak memainkan peranan," jelasnya. Pada majlis itu, pihak Al-Munawwarah menyampaikan sumbangan kepada beberapa badan kebajikan termasuk cek bernilai RM500 kepada lima keluarga asnaf rancangan Bersamamu TV3. Sumbangan itu adalah hasil daripada dana yang dikumpul dan sumbangan Bank Simpanan Nasional (BSN), Mesra LED Tech dan Muchtar Catering. Acara itu turut dihadiri oleh Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Brigedier Jeneral (B) Datuk Husainy Hashim, Presiden PPIM, Mohd Yusof Haniffa dan Presiden Persatuan Wartawan Dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.