HAMBOI... ke luar negara tu boleh tapi pasar Ramadan tak pernah pergi? Biar betul ni? Tapi hakikatnya itulah situasi sebenar dua anak Rita Rudaini atas faktor keselamatan. Rita Rudaini memberitahu dia teringin membawa anak-anaknya iaitu Airit Rayyan Rizqin, 8 dan Airit Qaqa Arjuna, 6, membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan namun tidak dapat berbuat demikian. Jelas Rita, faktor dua anak lelakinya yang masih kecil dan bimbang kejadian tidak diingini berlaku menyebabkan dia menyimpan hasrat untuk membawa mereka ke bazar. "Saya teringin nak bawa anak-anak ke bazar bagi memperkenalkan mereka salah satu keseronokan bulan Ramadan di mana pelbagai makanan dijual di satu tempat yang sama. "Mereka tidak pernah ada pengalaman itu, bukan kerana saya tidak mahu bawa tetapi bimbang keselamatan memandangkan bazar ramai orang dan saya tiada pembantu untuk mengawal pergerakan mereka. "Mungkin jika mereka sudah besar sikit baru saya berani bawa mereka," katanya. Rita cuba memenuhi permintaan anak-anaknya pada bulan Ramadan. Dalam pada itu, Rita berkata, Rayyan berazam untuk berpuasa penuh pada tahun ini dan setakat ini dia berjaya mengharungi puasa dengan baik. "Alhamdulillah dia memang nak puasa dan berazam tidak akan tinggal walau sehari pun dan adiknya juga Arjuna turut mengikut abangnya berpuasa. "Saya terkejut juga kerana Arjuna baru tinggal puasa dua hari sahaja dan selebihnya dia berpuasa penuh," katanya. Bagi menyokong anak-anaknya, Rita berkata, dia memang menolak sebarang tawaran pada bulan Ramadan kerana ingin memberi fokus kepada keluarga selain memasak sendiri juadah berbuka puasa untuk anak-anaknya. Kata Rita, walaupun Rayyan dan Arjuna tidak cerewat tentang soal makanan namun dia akan memastikan setiap hidangan yang diminta akan disediakan. "Kita sendiri pun kalau berpuasa memang macam-macam teringin dan begitu juga mereka dan kadang-kadang mereka hendak makan nuget ayam dengan nasi, saya buatkan. "Tapi makanan kegemaran mereka telur dadar dan ayam goreng," ujarnya.