SETAHUN lalu kehidupan penyanyi popular era 1980-an iaitu Sahara Yaacob mula berubah selepas kisahnya tinggal dalam keadaan daif dalam sebuah stor di Hulu Langat mendapat perhatian. Kehidupannya kini lebih baik apabila mempunyai rumah sendiri selain karier seninya kembali rancak dengan pelbagai undangan nyanyian pentas. Tumpuan Sahara, 61, adalah untuk memberi balik kepada golongan memerlukan sebagai tanda terima kasih kepada insan-insan yang disifatkan sebagai berhati mulia yang telah membantunya sebelum ini. Atas dasar itu juga, Sahara menolak semua tawaran nyanyian sepanjang Ramadan bagi membolehkan dia melakukan kerja amal dan membantu golongan kurang bernasib baik. "Sebelum ini banyak pihak yang tampil menghulurkan bantuan bagi membolehkan saya kembali bangkit dan menjalani kehidupan lebih baik dan selesa. Sahara tolak undangan nyanyian sepanjang Ramadan. "Saya tidak pernah lupakan insan-insan berhati mulia yang membantu saya dan cara saya ingin membalas kembali adalah dengan membuat kebajikan kepada orang lain pula. "Alhamdulillah saya diberi peluang dan kesempatan untuk melakukan kerja amal sepanjang Ramadan ini dan ia membuatkan saya bahagia," katanya. Kata Sahara lagi, pengalamannya sebelum ini banyak memberi inspirasi agar sentiasa berkongis kegembiraan dan rezeki dengan orang lain. "Saya pernah merasai bagaimana kehidupan tidak dipedulikan oleh sesiapa dan rezeki saya juga dipertemukan dengan golongan yang bermurah hati membantu saya. "Jadi apa salahnya saya pulangkan balik setakat termampu seperti hadir ke program-program berbuka puasa bersama anak yatim atau pun program-program kebajikan," ujarnya. Bercakap mengenai sambutan Ramadan pada tahun ini, Sahara berkata ia lebih bermakna kerana mempunyai rumah sendiri dan dapat menjalani ibadah itu dengan lebih baik.