KEDATANGAN sanak-saudara ke rumah pada hari raya nanti bukan sekadar menziarah tetapi ada segelintir yang bersikap 'kepoh' dan sasarannya kepada mereka yang belum berkahwin. Tapi bagi pelakon Izreen Azminda, dia tidak bimbang dengan situasi tersebut memandangkan dia tidak pernah ditanya tentang perihal peribadi walaupun ada yang cuba berbuat demikian. Hal itu berkemungkinan disebabkan wajahnya yang kelihatan garang dan serius membuatkan saudara-mara yang bimbang untuk mengajukan soalan tentang kahwin kepadanya. Izreen dan anak lelakinya, Muhammad Adrian Umar. "Saya rasa mereka pun tak berani nak tanya. Muka kami pun 'cengih' (garang). "Setakat ini tiada pula yang tanya bila saya nak berkahwin lain tambahan pula mereka sendiri dapat jawapan apabila lihat saya balik kampung hanya bersama anak," katanya. Izreen, 32, berkata, pada tahap ini dia tidak terlalu berfikir untuk kembali hidup berumah tangga sebaliknya meletakkan perkara itu kepada jodoh dan ketentuan Allah. "Bukannya serik hendak berkahwin buat kali kedua cuma jodoh belum sampai. Insya-Allah jika dipertemukan dengan seorang lelaki yang sesuai dan memahami diri saya, saya akan berkahwin. "Sekarang saya tidaklah terlalu fokus ke arah mencari jodoh kerana tumpuan utama saya kini adalah anak dan karier lakonan," ujarnya. Izreen pernah berkahwin dengan jurukamera, Muhamad Riza Baharudin pada 2012 dan rumah tangga mereka berakhir pada 2014. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak lelaki bernama Muhammad Adrian Umar yang kini berusia empat tahun. Bercakap mengenai persiapan Aidilfitri, Izreen berkata, dia tidak cerewet sebaliknya memilih baju kurung yang selesa memandangkan dia lasak dan mempunyai anak kecil. "Perlis panas, jadi tak perlu sangat hendak beria-ria dalam membeli baju raya kerana saya lebih suka yang sederhana dan tahan lasak. "Malah untuk Adrian pun persiapan sederhana sahaja tambahan pula dia lasak dan cepat berpeluh. "Kebiasaannya kanak-kanak macam Adrian pakai baju Melayu sekejap sahaja dan selepas itu mereka pakai baju biasa," katanya.