suria

Dua Tahun Salma Tidak Beraya Di Sabah

Salma dan Azri menyambut hari raya Aidilfitri di Klang, Selangor. Foto SHAARI CHE MAT

ALAHAI... Kesian pula dengan penyanyi Salma yang tak dapat menyambut Aidilfitri di kampung halamannya di Sabah pada tahun ini.

Kata Salma, sudah dua tahun dia tidak pulang berhari raya atas sebab-sebab tertentu dan merindui suasana Syawal di sana.

"Kalau diikutkan hati memang hendak balik ke Sabah sebab sudah dua tahun tidak pulang berhari raya bersama keluarga.

"Tapi apa hendak buat keadaan tidak mengizinkan dan Insya-Allah akan balik ke Sabah pada hari raya Aidiladha nanti," katanya.

Ditanya mengenai perkara paling dirindukan setiap kali meraikan lebaran di Sabah, isteri kepada Azri Abdullah Akedemi Fantasia 9 (AF9) ini memberitahu juadah masyarakat tempatan paling dinanti-nantikan.

"Makanan di Sabah dan Semenanjung Malaysia berbeza, jadi saya memang teringin hendak menikmati juadah yang biasa dinikmati oleh masyarakat Sabah seperti buras, tumbu, tapai dan ayam lengkuas.

"Dekat sini memang langsung saya tidak pernah jumpa dan jika teringin saya akan masa sendiri untuk keluarga, " katanya.

Bagaimanapun kata Salma, dia tidak berani untuk memasak juadah Sabah untuk ibu mertuanya kerana bimbang hidangan tersebut tidak menepati seleranya.

Tambahan pula kata Salma, ibu mertuanya itu seorang tukang masak dan ia membuatkan dia lebih rendah diri untuk beraksi di dapur.

"Hendak masak di rumah mertua saya segan kerana bimbang tak menepati selera tambahan pula ibu mertua adalah seorang tukang masak.

"Tapi kalau masak untuk suami dan anak-anak boleh sahaja," ujarnya.

Salma, Azri AF9

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain