suria

Syukur! Hattan & Nash Dapat Kerjakan Haji

Nash (kiri) dan Hattan bakal mengerjakan Haji tahun ini.

DUA penyanyi terkenal tanah air iaitu Datuk Hattan dan Datuk Nash bakal mengerjakan ibadah Haji dan dijangka berangkat ke Makkah menerusi penerbangan terakhir ke Jeddah pada 24 Ogos depan. 

Hattan dan Nash yang ditemui mStar Online melahirkan rasa syukur dan tidak menyangka terpilih untuk menunaikan rukun Islam kelima itu pada tahun ini. 

Ini kerana, kedua-dua mereka sentiasa berdoa untuk dipanggil mengerjakan ibadah itu dan peluang itu disifatkan sebagai mimpi menjadi kenyataan. 

"Jika ditanya kepada sesiapa pun pilihan sama ada ingin ke London atau mengerjakan Haji, sudah tentu kita akan pilih buat Haji. 

"Makkah dan Madinah adalah tempat paling dirindui dan izin-Nya, Insya-Allah dapat kami mengerjakan Haji tahun ini dan ia adalah impian saya," kata Nash. 

Nash dan Hattan ditemui pada sidang media 1st World Sama' Fest yang diadakan di Hotel Royale Bintang, Damanara pada Selasa. 

Nash (kiri) dan Hattan.

Festival keagamaan itu akan diadakan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 28 Julai ini bermula 8 malam. 

Dalam pada itu, Nash berkata, seperti kebanyakan jemaah lain, dia berharap pemergiannya nanti dipermudahkan dan dapat melakukan ibadah dengan sempurna. 

"Walaupun pasang impian hendak buat Haji tetapi memang saya tak rancang akan pergi tahun ini dan ini adalah perancangan daripada Allah. 

"Insya-Allah pengalaman melakukan Umrah dua kali sebelum ini diharap dapat membantu melancarkan ibadah Haji nanti namun saya tetap akan menghadiri kursus," jelasnya. 

Sementara itu, Hattan pula memberitahu dia sanggup menolak tawaran mengadakan persembahan pada acara penutup Sukan Sea 2017 kerana tidak mahu terlepas peluang untuk mengerjakan ibadah Haji. 

"Saya dapat perkhabaran nama terpilih untuk buat Haji sebelum bulan Ramadan dan ia berita paling menggembirakan! 

"Malah saya sanggup tolak tawaran mengadakan persembahan di Sukan Sea dan pada tahap ini tiada yang lebih penting daripada mengerjakan Haji. 

"Ia bukan peluang yang datang begitu sahaja sebaliknya kalau tidak di izinkan Allah ia tidak akan berlaku. 

"Sudah terlalu lama saya simpan hasrat dan Alhamdulillah impian saya menjadi kenyataan," ujarnya. 

Nash dan Hattan memberitahu pemergian mereka ke Tanah Suci tidak ditemani ahli keluarga. 

Mereka turut mengambil kesempatan memohon maaf kepada semua kaum keluarga, peminat dan semua kenalan sekiranya ada kesalahan pernah dilakukannya.

Hattan, Nash

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain